Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Penyakit buah pinggang sering dikategorikan sebagai penyakit yang membunuh secara senyap.
Ia boleh menjejaskan pelbagai golongan tidak kira kanak-kanak, dewasa mahupun warga emas.
Pada kanak-kanak, penyakit ini boleh disebabkan oleh kecacatan kongenital atau masalah genetik.
Sementara itu, pada orang dewasa dan warga emas, faktor seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan gaya hidup yang tidak sihat sering menyumbang kepada risiko penyakit ini.
Bagaimanapun, amalan pemakanan sihat dapat mengurangkan risiko penyakit tersebut.
Orang ramai perlu mendapatkan bacaan berat badan yang normal dan sentiasa memantau status kesihatan secara berkala termasuk tekanan darah, bacaan gula dan kolesterol dalam darah.
Amalan pemakanan sihat perlu dijadikan satu gaya hidup yang berterusan sebagai tanda sayang akan buah pinggang.
Antara amalan pemakanan sihat yang boleh diamalkan adalah:
- Kurangkan makanan ultra proses.
- Kurangkan pengambilan garam.
- Menjalani saringan kesihatan buah pinggang sekiranya berisiko tinggi contohnya pesakit yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan kardiovaskular serta berat badan berterusan.
- Melakukan aktiviti fizikal
- Tidur dengan secukupnya.
- Elakkan pengambilan ubat tahan sakit atau ubat yang tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara berterusan.
IMedikel TV






