Home Sukan UNITED TEKAD BANGKIT LAWAN PORTO

UNITED TEKAD BANGKIT LAWAN PORTO

156
0

Paris: Manchester United tekad berusaha untuk pulih daripada satu lagi kekalahan memalukan menjelang kunjungan ke Porto dalam aksi Liga Europa pada awal pagi Jumaat ini.

Juara Inggeris 20 kali itu bermula hambar musim ini dengan hanya meraih tujuh mata daripada enam perlawanan liga dan menjaringkan lima gol.

United turut memulakan kempen Eropah dengan langkah kiri apabila seri 1-1 menentang Twente di Old Trafford minggu lalu, keputusan yang dianggap kekalahan oleh pemain tengah Christian Eriksen.

Ia juga meneruskan kempen buruk United di Eropah dengan hanya satu kemenangan dalam sembilan perlawanan selepas tampil hambar dalam aksi Liga Juara-Juara musim lalu.

Pengurus Erik Ten Hag sekali lagi merayu diberikan lebih masa untuk mengubah nasib pasukan selepas tewas 0-3 di tangan Spurs Ahad lalu tetapi pengendali dari Belanda itu mengakui pemainnya beraksi di bawah tahap sebenar.

“Kami perlu pamer semangat juang tinggi kerana apa yang berlaku tak cukup bagus. Kami perlu bangkit , belajar dan melakukannya dengan lebih baik,” kata Ten Hag.

“Kini saya hanya fokus Porto. Kekalahan di tangan Spurs sudah kami lupakan dan akan bermula era baharu. Musim ini masih awal, banyak lagi perlawanan perlu diharungi.”

Kapten United Bruno Fernandes yang membesar di Porto dan beraksi untuk Boavista ketika remaja, lebih mengenali lawan mereka itu yang tewas 2-3 di tangan kelab Norway Bodo/Glimt pada perlawanan pertama.

“Mereka pasukan yang selalu beraksi baik di peringkat Eropah, kami perlu berwaspada,” kata Fernandes kepada MUTV. “Mereka meningkat dengan pantas dalam beberapa perlawanan terakhir walaupun tewas aksi sebelum ini dalam aksi Liga Europa.”

“Kami menjangkakan aksi sukar di sana tetapi kami mahu menang dan tiada yang lain dalam fikiran kami,” tambah pemain tengah itu yang terselamat daripada hukuman gantung tiga perlawanan selepas United berjaya dalam rayuan ke atas kad merah diterima ketika tewas di tangan Spurs. – AFP, HMetro –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here