MADRID: Penyerang muda Real Madrid, Endrick memiliki bakat semulajadi yang unik kata pengurus pasukan, Carlo Ancelotti selepas melihat anak buahnya itu meledak gol terakhir ketika menang 3-1 ke atas Stuttgart dalam aksi pertama Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
“Dia mampu melakukan perkara yang tidak boleh difikirkan oleh sesiapa pun,” kata Ancelotti selepas Endrick yang berusia 18 tahun menjadi pemain Real Madrid termuda menjaringkan gol dalam mana-mana pertandingan antarabangsa rasmi.
Dalam aksi itu, Endrick meledak gol ketiga pada masa kecederaan menerusi serangan balas pantas dilakukan dengan pemain itu meledak gol dari luar kotak penalti yang gagal dihalang penjaga gol Stuttgart.
“Anda boleh melihat bahawa dia mempunyai sesuatu yang istimewa, sesuatu yang saya tidak pernah lihat. Dia memiliki rembatan yang padu dan sangat pantas.
“Endrick mempunyai keberanian untuk membawa bola ke hadapan. Walaupun di kiri dan kanan rakan sepasukannya sudah membuka ruang namun pilihan untuk melepaskan rembatan cukup berani dan ia berjaya menghadirkan gol buat pasukan,” katanya.
Jelas Ancelotti lagi, beliau begitupun akui pemainnya memulakan aksi dengan agak perlahan yang menyaksikan lawan mendominasi permainan.
“Jika ada yang memikirkan kami akan menang mudah perlawanan ini, mereka sememangnya silap. Saya sudah melatih pasukan dengan mengharungi lebih 200 perlawanan dalam Liga Juara-Juara dan saya akui bukan senang beraksi di peringkat tertinggi ini.
“Tiada siapa boleh katakan yang mereka pasukan pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara. Kami masih dalam fasa pembentukan, dan kerja-kerja ke arah membentuk pasukan sedang dilakukan,” katanya. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






