Home Hiburan RASA TERUJA NYANYI LAGU TEMA MERDEKA

RASA TERUJA NYANYI LAGU TEMA MERDEKA

172
0

Menggalas tanggungjawab sebagai anak seni membuka ruang buat penyanyi, Amir Masdi untuk mengekspresikan semangat patriotik dan rasa cinta kepada negara.

Tahun ini, satu lagi pencapaian buat Amir apabila namanya dipilih untuk menggalas tanggungjawab sebagai penyanyi lagu tema Hari Kemerdekaan Malaysia berjudul Merdeka Jiwa Madani ciptaan Datuk Mokhzani Ismail dan Affan.

“Alhamdulillah, saya terpilih untuk menyanyikan lagu ini dan terima kasih kepada penggubah kerana berikan kepercayaan kepada saya untuk menyanyikan lagu tema Hari Kemerdekaan pada tahun ini,” katanya.

Amir berkata, pertama kali mendengar lagu itu, bulu romanya meremang kerana semangat patriotik yang disuntik dalam susunan muzik dan liriknya.

“Pertama kali saya dengar lagu ini, saya rasa semangat jiwa merdeka itu ada dan juga susunan muziknya sangat segar. Ia ada elemen kebudayaan Malaysia juga.

“Elemen rock itu ada sedikit, tapi ia lebih kepada semangat patriotik dan juga budaya. Alhamdulillah saya sangat berbesar hati untuk Malaysia,” katanya.

Berbicara mengenai definisi merdeka, Amir secara peribadi melihat kepada aspek kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia.

“Kemerdekaan adalah apabila saya dapat melihat rakyat Malaysia hidup dalam harmoni dan hidup dengan berjayanya sebagai negara yang berbilang bangsa,” katanya.

Melihat sokongan rakyat Malaysia kepada atlit yang berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini, Amir yakin, sokongan itu membuktikan betapa kuatnya rasa cinta rakyat kepada tanah air ini.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa banyak dah yang kita capai dalam negara ini dan saya sangat berbangga sebagai anak Malaysia. Kita boleh nampak beberapa pencapaian yang sangat besar dan paling terbaru adalah di Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kita nampak atlet-atlet negara bertungkus-lumus dengan sokongan daripada rakyat Malaysia tidak kiralah dari rumah, dari kedai mamak, bahkan dari mana-mana saja. Semua mendoakan dan menunjukkan sokongan padu terhadap mereka,” katanya.

Sebagai anak seni, Amir juga mengimbau beberapa elemen yang sentiasa menjadi kebanggaannya sebagai anak Malaysia.

“Antara elemen yang saya banggakan mengenai Malaysia adalah makanan, peminat-peminat saya, budaya kita, muzik, kepelbagaian kaum dan juga persekitaran kita.

“Saya mengharapkan agar semua nikmat, kebanggaan dan pencapaian yang kita ada, dapat dikekalkan. Sebagai rakyat Malaysia, saya harap kita dapat kekalkan keharmonian dan juga kesenangan semua.

“Saya sangat harapkan kita sebagai rakyat Malaysia bantu antara satu sama lain dan hormat menghormati,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here