Home Buletin Semasa MBKK KELUAR PERINTAH JAGAAN SEMENTERA ADIK KEPADA ZAYN RAYYAN

MBKK KELUAR PERINTAH JAGAAN SEMENTERA ADIK KEPADA ZAYN RAYYAN

302
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Mahkamah Bagi Kanak-kanak (MBKK) Shah Alam, setelah menimbangkan, antara lain syor oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), telah mengeluarkan perintah jagaan sementara ke atas adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan, kepada Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) pada 9 Ogos lalu.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dalam suatu kenyataan, OYLS adalah waris keluarga, untuk tempoh interim dua bulan.

“Saya ingin memaklumkan bahawa apa yang dilaksanakan oleh JKM adalah selaras dengan peruntukan undang-undang serta tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kami. Semua prosedur yang dijalankan adalah demi kepentingan terbaik kanak-kanak tersebut semata-semata.

“JKM akan terus memantau perkembangan dan keadaan kanak-kanak terbabit selama tempoh interim dua bulan ini dengan kerjasama OYLS yang telah diamanahkan. Keputusan ini selaras dengan peruntukan di bawah Akta KanakKanak 2001 (Akta 611).

“Saya ingin menegaskan bahawa nilai-nilai kemanusiaan, keadilan, dan kesejahteraan untuk semua terutama kanak-kanak mesti sentiasa diutamakan,”katanya dalam suatu kenyataan.

Katanya pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa komited agar kebajikan dan hak kanak-kanak dilindungi

Beliau juga menyeru kepada masyarakat untuk melaporkan sebarang kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999 serta menghubungi pihak berkuasa Polis DiRaja Malaysia (PDRM). – KPWK –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here