Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
GUA MUSANG: Presiden Muafakat Nasional (MN) Malaysia, Tan Sri Annuar Musa mengambil inisitif dengan mengetengahkan isu rakyat yang tidak mendapat pampasan berikutan pembinaan jalan dan jambatan BERTAM, di Gua Musang, di sini, hari ini.
Menerusi dialog bersama rakyat pada bulan lalu, beliau dapati sebanyak 27 keluarga terpaksa berpindah tanpa sebarang pampasan atau gantian kepada rumah mereka yang dibina di atas tanah kerajaan.
“Saya mengambil inisiatif untuk membawa isu rakyat itu kepada pucuk pimpinan negeri khasnya Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud.
“Antara isu yang dibangkitkan adalah isu pemilikan tanah tapak rumah peneroka, pemilikan tanah ladang, tapak kediaman generasi kedua, prasarana, masyarakat Asli dan banyak lagi yang melibatkan Agensi Kerajaan Persekutuan, Agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Jelas Annuar, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassurudin Daud, telah turun padang bagi mengunjungi penduduk di Kampung Bertam, pada Jumaat lalu.
Katanya, hasil daripada pertemuan, Datuk Nassuruddin telah memaklumkan keputusan dan tindakan daripada kerajaan negeri akan menyusul.
“Beliau bersetuju untuk meluluskan sebuah kawasan dianggarkan seluas 10 hektar untuk dijadikan tapak rumah dan setiap keluarga akan diberi satu lot tapak rumah yang berukuran 6,000 kaki persegi.
“Selain itu, mereka juga akan dibenarkan masuk tapak tersebut serta merta setelah pembahagian lot diuruskan oleh Ketua Jajahan Gua Musang serta Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang serta mereka boleh mendaftarkan permohonan bagi mendapatkan hak milik mengikut prosedur sedia ada,” katanya.
Annuar berkata, Datuk Nassuruddin akan terus komited membantu menyelesaikan isu rakyat terutamanya yang gagal diselesaikan sebelum ini.
“Lanjutan itu, saya juga bersetuju untuk mewujudkan sebuah Sekretariat Aduan dan Rundingcara Masalah Rakyat (SARMA) yang diketuai oleh Ahli Dewan Tertinggi (ADT) MN, Datuk Eizlan Yusoff bagi meneruskan usaha dan kerjasama dengan pemimpin tempatan, wakil rakyat dan kerajaan agar masalah serta aduan rakyat dapat kita ikhtiar dan atasi bersama,” katanya.
Imedikel TV






