Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
GUA MUSANG: Pakatan Nasional (PN) memperkemas mekanisma ampuh perkukuh jentera menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) di N.43 Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Pengarah Operasi PN PRK DUN Nenggiri Tan Sri Annuar Musa berkata perkara utama yang dilaksanakan ialah mengenalpasti kawasan-kawasan yang terdiri daripada 20 Unit Daerah Mengundi (UDM) yang 14/15 daripadanya telah dimenangi PN dalam PRU Negeri yang lepas.
Beliau menyifatkan PRK DUN Nenggiri kali ini bahangnya ibarat berhadapan sebuah pilihanraya besar bagi PN melihat pendirian pihak lawan adalah bukan calang-calang dan kerusi kali ini merupakan kerusi tradisi yang telah sekian lama dikuasai parti Barisan Nasional (BN).
Annuar yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO pernah menerajui Jentera Pilihan Raya peringkat nasional parti itu sebelum ini mengharapkan strategi yang diatur khas jentera PN bagi menghadapai PRK kali ini ‘menjadi’, sekali gus PN kekal memegang kerusi kemenangan di DUN N.43 Nenggiri.

“Kriteria calon bakal diumumkan oleh PN dalam masa terdekat ini sudah pasti memiliki keupayaan dan kualiti yang mampu bersaing dengan calon lawan.
“Semua anggota telah diberi mandat bagi memastikan pengundi memilih calon PN di hari pengundian nanti dinasihatkan agar sentiasa menjaga adab dan tatasusila bagi mencerminkan latar belakang parti komponen yang mendokong syariat Islamiah beserta menjaga adat budaya pengundi pelbagai kaum dan kekal berlemah-lembut dalam menyantuni masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Khas Ahli Muafakat Nasional (MN) di Muse Eco Park, di sini, Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, kata Annuar, beliau turut turun mengadakan tinjauan keadaan di peringkat akar umbi menjelang PRK DUN Nenggiri.
Beliau berkata, pihaknya mengambil peluang turun padang lebih awal bagi mengetahui isu dihadapi rakyat di DUN Nenggiri, selain ingin mendengar sendiri ciri-ciri pemimpin yang dimahukan pengundi sebagai wakil rakyat mereka.
“Daripada tinjauan awal yang dibuat setelah turun padang, berjalan sendiri dari kampung ke kampung, dari rumah ke rumah bertemu dan berbual, kebanyakan pengundi mahu calon tepati janji.
“Antara isu yang dibangkitkan ialah berkaitan pemilikan tanah generasi kedua, kos sara hidup tinggi yang membuat rakyat rasa semakin tertekan saban hari,” katanya.
Beliau berkata masalah itu perlu dibela dan tanggungjawab berkenaan seharusnya disedari oleh sesiapa pun setelah diangkat menjadi pemimpin mereka.
Tambahnya, di samping mengumpul data dan menyenaraikan masalah rakyat yang memerlukan pembelaan, beliau berkata pemimpin diperlukan rakyat seharusnya sudah biasa dengan kawasan dan sosio-ekonomi di DUN Nenggiri.
Menurut beliau, calon yang bakal diumumkan oleh pucuk pimpinan PN nanti adalah memenuhi semua kriteria yang diinginkan rakyat di DUN Nenggiri.
Katanya perancangan dan jadual kerja telah dibuat dan semua yang terlibat diberikan tugas serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan masing-masing.
“Sekarang masa untuk buat kerja dan pastikan kemenangan. InsyaAllah,” katanya.
IMedikel TV






