Home Buletin Semasa JAKOA HADKAN KEMASUKAN KENDERAAN PACUAN EMPAT RODA MUSIM TENGKUJUH, ELAK JALAN ROSAK

JAKOA HADKAN KEMASUKAN KENDERAAN PACUAN EMPAT RODA MUSIM TENGKUJUH, ELAK JALAN ROSAK

177
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengehadkan kemasukan kenderaan pacuan empat roda Badan Bukan Kerajaan (NGO) ke kawasan pedalaman Orang Asli terutama pada musim tengkujuh.

Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Sapiah Mohd Nor berkata, berhubung perkara itu, pihaknya akan mengeluarkan makluman khas yang akan dibuat menjelang musim tengkujuh dalam usaha mengelak berlaku kerosakan jalan.

“JAKOA tidak menghalang kemasukan NGO ke kawasan pedalaman Orang Asli, namun kita akan mengehadkan kemasukan pada musim tengkujuh dan apabila berlaku serangan haiwan liar.

“JAKOA bukan menghalang, tetapi menggalakkan kemasukan sebab kita tahu badan-badan NGO banyak membantu dalam menyelesaikan isu yang tIdak dapat ditangani contohnya bantuan dari segi kesihatan,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Kuala Betis, semalam.

Menurutnya berdasarkan cuaca tidak menentu, pihaknya akan mengeluarkan arahan berkaitan kemasukan kerana pada musim tengkujuh jalan-jalan banyak rosak, sekali gus mengganggu penghantaran bantuan kesihatan, pendidikan serta bantuan.

“Permohonan masuk ke kampung Orang Asli bertujuan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) perlu dikemukakan dalam tempoh sebulan atau dua minggu sebelum program,” katanya.

Sapiah berkata sekiranya terdapat bantuan yang ingin disalurkan kepada penduduk Orang Asli di pedalaman, pihak NGO boleh menyalurkan bantuan melalui JAKOA, seterusnya mereka akan menghantarnya mengikut susunan jadual.

“Sekiranya kawasan tidak boleh dimasuki menggunakan jalan darat, kita akan meminta bantuan helikopter bagi membolehkan barangan dihantar seperti kita lakukan setiap tahun,” katanya.

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here