CHARLOTTE, Amerika Syarikat: Pengendali Uruguay, Marcelo Bielsa mempertahankan tindakan pemain-pemainnya yang terbabit dalam pergaduhan dengan penyokong selepas aksi separuh akhir Copa America menentang Colombia.
Menurut Bielsa, sesiapa sahaja akan bertindak seperti itu bagi melindungi ahli keluarga mereka.
Selepas Colombia menang 1-0 di Charlotte, Carolina Utara, pemain-pemain Uruguay memanjat ke tempat duduk penonton dan bertumbuk dengan penyokong pasukan lawan.
Bielsa berkata, ahli keluarga pemain-pemainnya diserang oleh penyokong Colombia. Dia berang selepas CONMEBOL membuka kertas siasatan terhadap Uruguay dan mengkritik penganjur Copa kerana gagal menjaga keselamatan keluarga pemain-pemainnya.
“Anda tahu tanggungjawab siapa untuk melindungi penyokong. Anda perlu bertanya kepada saya adakah mereka yang bertanggungjawab menjaga keselamatan memohon maaf kepada pemain-pemain saya.
“Pemain-pemain bertindak seperti manusia biasa lain yang akan melakukan perkara sama jika keselamatan ibu, isteri dan anak mereka terancam.
“Apa yang patut mereka lakukan? Tidak ada sesiapa yang mahu melihat tindak balas ganas, tetapi anda perlu melihat mereka bertindak balas kepada apa,” kata Bielsa yang mendakwa dia tidak kisah jika digantung.
Badan induk bola sepak Amerika Selatan kini menyiasat 11 pemain Uruguay yang sebahagian daripada mereka bakal terlepas dua aksi kelayakan Piala Dunia seterusnya pada September.
Uruguay akan beraksi untuk penentuan tempat ketiga menentang Kanada di Stadium Bank of America, Charlotte awal pagi esok. – REUTERS,BH Online –
Imedikel TV






