Konsert Atas Angin Festival biasanya menampilkan band indie atau artis muda, namun Atas Angin Festival 2024 yang berlangsung di Rooftop @ 7, MyTown Cheras, Kuala Lumpur pada 3 Ogos depan menampilkan sesuatu yang istimewa dengan penampilan kumpulan legenda, Alleycats.
Tentunya ini menjadi satu lagi tarikan dengan kumpulan yang diketuai David Arumugam (penyanyi) itu yang akan mempersembahkan lagu malar hijau mereka seperti Andainya Aku Pergi Dulu, Hingga Akhir Nanti, Suara Kekasih, Senyumlah Kuala Lumpur, Kerana dan banyak lagi.
Pengarah Projek Atas Angin Festival 2024, Arif Imran atau Bam berkata, pemilihan Alleycats adalah antara usaha mereka untuk menarik golongan berusia ke konsert itu.
“Kami tidak ada kriteria spesifik dalam pemilihan band. Alleycats adalah band legenda dan kami harap kehadiran mereka nanti dapat menarik golongan lebih dewasa lagi. Lagipun bapa saya juga peminat Alleycats,” katanya dalam sidang media, baru-baru ini.
Bukan saja Alleycats, Atas Angin Festival 2024 juga bakal mencipta sejarah apabila tampil dengan lebih ‘besar’ dan ‘bising’ dengan menampilkan 101 penyanyi, band dan DJ atas lima pentas pada hari sama. – HM Digital –
IMedikel TV






