LEIPZIG, Jerman: Croatia didenda 105,000 euro (RM530,877) oleh badan disiplin, etika dan tatatertib Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) kerana insiden yang berlaku pada perlawanan Euro 2024 dengan Itali, Selasa lalu.
Persatuan Bolasepak Croatia mengesahkan perkara berkenaan manakala polis memaklumkan beberapa tangkapan dilakukan pada perlawanan berkenaan.
Situasi sekitar perlawanan di Leipzig nyata berbeza berbanding dua perlawanan Euro 2024 sebelum itu, yang menyaksikan penyokong Croatia menyalakan suar selain melemparkan cawan plastik ke padang.
“Persatuan Bolasepak Croatia didenda 105,000 euro kerana membaling objek (45,000 euro bersamaan RM227,512), menyalakan suar (30,000 euro bersamaan RM151,674) dan tingkah laku tidak sepatutnya (30,000 euro bersamaan RM151,674) oleh beberapa penyokong Croatia ketika perlawanan Croatia-Itali,” kata UEFA dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Croatia pernah didenda kerana tindakan penyokong menyala dan melontarkan suar ketika perlawanan menentang Albania dan UEFA sedang melakukan siasatan berasingan terhadap dakwaaan tingkah laku perkauman serta diskriminasi oleh kedua-dua pasukan pada perlawanan itu.
Polis Leipzig dikerahkan sebelum, ketika dan selepas perlawanan Croatia-Itali dengan beberapa tangkapan dilakukan pihak berkuasa.
Leipzig sebelum ini pernah menjadi venue perlawanan Portugal-Republik Czech dan Perancis-Belanda dan polis berkata, tiada tangkapan dibuat ketika perlawanan berkenaan.
Gelanggang itu selepas ini akan menjadi lokasi bagi perlawanan pusingan 16 terakhir Austria dan Turkiye, awal pagi Rabu ini. – REUTERS, BH Online –






