KUALA LUMPUR: Meskipun bergelut dari segi kerja, pelakon Johan As’ari, 38, bersyukur mendapat rezeki untuk melawat ke Tanah Suci mengerjakan umrah sebanyak dua kali pada tahun ini.
Johan atau nama sebenarnya Johan Ariff As’ari menyifatkan jemputan ke Makkah adalah rezeki yang cukup indah buatnya tatkala buntu memikirkan tawaran berlakon.
“Tahun 2024 ini antara yang ‘struggle’. Alhamdulillah mungkin kerja berlakon 2024 kurang, tapi rezeki dapat ke Tanah Suci dua kali pula tahun ini. Bersama Datuk Adi Putra dan Ikhlas.com.
“Saya anggap ke umrah ini jemputan jadi tetamu Allah. Jadi, saya tak letakkan harga. Mereka nak bagi, alhamdulillah, tak bagi, saya tak minta. Dekat sana yang mahal doa kita kan.
“Itu rezeki kumpulan buat umrah setiap tahun. Tahun lalu saya dapat pergi tiga, empat kali. Tahun ini, saya dapat pergi dua kali, bulan Ogos dan November nanti,” katanya ditemui pada pratonton telefilem Sebelum Sesuatu di Radio Televisyen Malaysia (RTM), semalam.
Johan berkata tawaran kerja untuknya kala ini memang belum ada namun bersyukur beberapa bulan sebelumnya, ada beberapa projek membabitkannya sedang berjalan.
“Filem-filem yang sudah siap, tengah dan bakal tayang. Biasalah, kadang-kadang kita di atas, kadang-kadang di bawah. Itulah lumrah jadi seorang selebriti. Kadang-kadang ada tawaran tak putus-putus.
“Kadang-kadang Allah suruh kita rehat, dua tiga bulan tak dapat bekerja. Beberapa bulan ke belakang tawaran kerja tak putus. Cuma beberapa bulan ke depan, saya tak nampak tawaran dan saya sedang melalui fasa itu,” katanya.
Johan reda dan faham kerja sebagai pelakon tiada gaji tetap. Justeru, dia sentiasa beringat simpan duit sendiri dan bila datang tawaran, tak kira penat, dia akan buat selagi terdaya.
“Kerana ada simpanan itu yang membuatkan saya okay. Itu yang menyelamatkan saya bila tiada tawaran. Simpanan tak adalah banyak mana, sekurang-kurangnya boleh bertahan untuk keperluan harian,” katanya.
Telefilem Sebelum Sesuatu arahan Danny Alamsyah turut dibintangi Bohari Ibrahim, Ika Nabila, Amerul Affendi, Khai Sabri, Fazlina Ahmad Daud dan Ashraf Muslim.
Naskhah oleh Azrie Izham itu akan ditayangkan pada 22 Jun, jam 9 malam, di TV1 dan RTMKlik. – Hmetro Online –
- IMEDIKEL TV






