WASHINGTON: Empat kapal tentera Amerika Syarikat (AS) yang menyokong pembinaan jeti sementara untuk menghantar bantuan ke Gaza terkandas di laut dan Israel sedang membantu usaha menyelamatkannya, menurut Komando Pusat AS (CENTCOM).
“Kapal berkenaan terlepas dari ikatan sauhnya dan dua kapal kini terkandas di pantai berhampiran jeti manakala kapal ketiga dan keempat berada di pesisir pantai Israel berhampiran Ashkelon.
“Justeru, tiada kakitangan AS akan memasuki Gaza dan tiada kecederaan dilaporkan selain jeti itu masih berfungsi sepenuhnya,” katanya sambil menambah bahawa tentera laut Israel sedang membantu memulihkan kapal.
Serangan Hamas pada 7 Oktober lalu mengakibatkan 1,170 orang awam Israel mati, manakala serangan balas Israel membunuh sekurang-kurangnya 35,800 orang di Gaza.
Israel juga mengenakan kepungan ke atas Gaza hingga menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu kehilangan sebahagian besar air bersih, makanan, ubat-ubatan dan bahan api.
Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden, berkata pada Mac lalu jeti itu akan dibina untuk mengurangkan sekatan yang dikenakan oleh Israel ke atas penghantaran bantuan melalui darat ke Gaza.
Jurucakap ketua Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, Stephane Dujarric, berkata Program Makanan Sedunia (WFP) PBB menerima 97 trak sejak jeti itu beroperasi pada 17 Mei.
Dalam beberapa hari pertama penghantaran, penduduk melarikan barang bantuan beberapa trak yang menuju ke gudang, tetapi keadaan kini stabil.
CENTCOM berkata, sebanyak 1,005 tan bantuan dihantar dari laut ke tempat pemindahan pantai setakat Jumaat lalu, dengan 903 tan diagihkan dari titik pemindahan ke gudang PBB. – AFP, BH Online-
Imedikel TV






