Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Tanaman padi di Kelantan mengalami kerosakan dan meningkat secara mendadak sehingga memerlukan bantuan bencana daripada kerajaan negeri melebihi RM6 juta berbanding tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata setakat ini pihaknya masih dalam proses mendapatkan jumlah petani yang mengalami kerosakan padi memandangkan masih ada tanaman padi yang belum selesai dituai.
“Jabatan Pertanian Negeri Kelantan dan KADA menerima laporan daripada ramai petani yang terjejas akibat tanaman padi tidak dapat dituai. Kalau tahun lepas kita perlu mohon bantuan bencana daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebanyak RM6 juta jadi untuk tahun ini, setakat laporan yang kita dapat ianya lebih daripada tahun lalu maknanya ini adalah kerosakan yang teruk.
“Kita masih lagi dalam proses menerima laporan sepenuhnya dan jangan risau bantuan bencana itu ada dan kita nampak permohonan daripada petani itu bertambah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Veterinar di Ibu Pejabat Jabatan Veterinar negeri Kelantan, di sini, pada Khamis.
Katanya, petani akan melalui proses menabur untuk penanaman padi musim kedua pada pertengahan jun ini.
“Memandangkan sekarang masih lagi dalam cuaca panas, kita akan melaksanakan persiapan untuk menambah pam air yang lebih berkuasa tinggi untuk menyedut sumber air kepada parit dan sawah yang memerlukan,” katanya.
IMEDIKEL TV





