Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Simposium Pengkomersialan Politeknik dan Kolej Komuniti 2024 (SIPPKO’24) mengetengahkan penyelidikan serta inovasi hasil kreativiti peserta anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Pengarah Kolej Komuniti Pasir Mas (KKPM), Fathuddin Aizat Che Mohd Ariff berkata, penganjuran SIPPKO’24 itu juga menyokong kepada tonggak dasar Membangun Malaysia MADANI khususnya dalam aspek daya cipta.
Menurutnya, SIPPKO’24 mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), KKPM, Politeknik serta Kolej Komuniti zon Kelantan dan Terengganu.
“Pelaksanaan program ini menjadi inisiatif KPT dalam penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan di bawah amalan kepada penciptaan nilai bagi mewujudkan persekitaran kerja berinovasi dan kreatif.
“Nilai komersialan inovasi yang dibentangkan menjadi kayu ukur kepada persepsi nilai pasaran,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Terdahulu, produk inovasi yang diusahakan Pensyarah KKPM, Bilimbi Cider Vinegar dilancarkan pada program berkenaan di mana majlis penutup SIPPKO’24 dirasmikan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti KPT, Dr Riam Chau Mai.
Fathuddin Aizat berkata usaha itu sekali gus dapat membangunkan institusi terlibat menjadi inkubator inovasi yang signifikan terhadap kemampanan sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.
Beliau berkata di dalam program tersebut, pelbagai bentuk inovasi hasil daripada kreativiti peserta diketengahkan sebagai satu usaha mencipta produk dan perkhidmatan.
“Usaha ini turut memberi nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan lebih berkesan selari dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.
Katanya penganjuran simposium berkenaan wajar dijadikan acara tahunan berprestij bagi meletakkan hasil reka cipta warga Politeknik dan Kolej Komuniti ke satu tahap tersendiri setanding dengan produk keluaran industri bertaraf dunia.
IMEDIKEL TV





