Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan kini berada pada peringkat akhir perbincangan bersama pihak Perbadanan Stadium Kelantan untuk menyelesaikan masalah skrin digital papan markah (scoreboard) sebelum perlawananan pertama rasmi Liga Malaysia (Liga-M) pada 10 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata menerusi perbincangan itu, pihaknya mempunyai pilihan sama ada perlu membaikinya atau mencari alternatif lain.
“Kita sudah berkomunikasi dengan pemegang dan dia memberi sebut harga hampir RM100,000 tetapi dia tidak memberi jaminan ianya boleh kembali pada asal, oleh sebab itu kita tidak berani untuk mengambil risiko tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Karnival Lebaran 2024 di Kota Bharu, di sini, pada Rabu.
Zamakhshari berkata, perbadanan stadium bercadang untuk membuat skrin digital papan markah dalam bentuk sementara dan ianya akan diusahakan.
“Saya juga ada berbincang dengan beberapa badan korporat yang ingin sponsor scoreboard jadi pada masa yang sama dia berpeluang untuk pengiklanan LED dan sebagainya.
Media sebelum ini melaporkan papan markah di Stadium Muhammad IV tidak berfungsi dan rosak telah mendapat perhatian daripada penyokong bola sepak Kelantan ketika perlawanan pramusim Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) minggu lepas.
Sementara itu, Zamakshari turut menyeru orang ramai untuk mengunjungi Hari Belia Sukan Negara yang bakal diadakan di Stadium Sultan Muhammad.
IMedikel TV






