Oleh: Afrizam Arif@Imedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak semalam.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, insiden berkenaan diterima sebagai satu takdir daripada Allah.
“Kita ucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Jika (ada mangsa dari Kelantan) kita akan beri kerjasama dan pertolongan.
“Saya lihat pada masa akan datang soal keselamatan semasa pertunjukan raptai perlu diberikan keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini, semalam.
Beliau berkata pihaknya bersedia memberi segala bentuk bantuan dan untuk tujuan ini, ia adalah sikap semua kerajaan, tapi sekarang belum pasti sama ada yang terlibat itu orang Kelantan atau tidak.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Terdahulu media melaporkan seramai 10 orang dilaporkan terkorban selepas dua helikopter milik ATM bertembung dalam kejadian di Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, semalam.
Kedua-dua helikopter terbabit berlepas dari padang Sitiawan, Perak pada jam 9.03 pagi tadi sebelum bertembung di udara.
IMedikel TV






