Home Sukan SILVA PACU CITY KE SEPARUH AKHIR

SILVA PACU CITY KE SEPARUH AKHIR

MANCHESTER, England: Bernardo Silva meledak dua gol membantu Manchester City menundukkan Newcastle United 2-0 untuk layak ke separuh akhir Piala FA Inggeris awal pagi tadi.

Penyandang juara City masih berpeluang mengulangi pencapaian treble menjuarai Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara dan Piala FA musim lalu ketika anak buah Pep Guardiola melebarkan catatan tanpa kalah mereka kepada 22 perlawanan dalam semua pertandingan.

Tuah bagaimanapun menyebelahi juara Inggeris itu apabila dua kali Silva memperdayakan penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka selepas kedua-dua percubaannya tertampan pemain lawan.

Pemain antarabangsa Portugal itu membuka tirai jaringan pada minit ke-13 apabila percubaannya terkena Dan Burn sebelum menerjah jaring.

Gol kedua Silva tertampan oleh Sven Botman, namun Dubravka sepatutnya boleh melakukan yang lebih baik lagi apabila bola bergolek di bawah badannya.

Di pintu gol tuan rumah, ketiadaan penjaga gol nombor satu City, Ederson tidak dirasai selepas Stefan Ortega melakukan tindakan penyelamat cemerlang untuk menafikan Alexander Isak daripada membalas satu gol buat Newcastle.

Namun ia sudah terlambat buat Newcastle dalam buruan mereka merebut trofi kejuaraan musim ini ketika The Magpies kekal tanpa sebarang trofi utama sejak 1969.

City muncul pasukan pertama layak ke separuh akhir Piala FA buat enam musim berturut-turut.

“Saya tahu kami bermain untuk memenangi perlawanan akhir, tetapi untuk memenanginya, anda perlu menang pada pusingan terdahulu,” kata Guardiola.

“Untuk berlari dan bermain dengan cara yang mereka lakukan luar biasa. Tahniah kepada pasukan, tiada siapa pernah melakukannya sebelum ini.”

– AFP,BH Online-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here