Home Segmen Kesihatan KENAL PASTI JANGKITAN SALURAN KENCING

KENAL PASTI JANGKITAN SALURAN KENCING

242
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

Jangkitan saluran kencing (UTI) berlaku di buah pinggang, ureter, uretra atau pundi kencing. UTI adalah salah satu daripada jangkitan bakteria yang paling lazim dan boleh membawa kepada masalah kesihatan lain.

Gejala jangkitan saluran kencing mungkin berbeza dengan keterukan jangkitan, umur dan lokasi jangkitan dalam saluran seseorang.

Antara gejala yang biasa bagi jangkitan saluran kencing adalah:

  • Pedih atau sakit semasa kencing.
  • Kerap kencing dan sentiasa ingin kencing.
  • Demam dan lemah.
  • Air kencing berbau dan keruh.

Gejala akibat jangkitan pundi kencing (Cystitis)

  • Ketidakselesaan bahagian bawah abdomen.
  • Kencing yang kerap dan sakit dengan sedikit air kencing.
  • Biasanya demam rendah tanpa sakit pinggang.
  • Darah di dalam air kencing.

Gejala akibat jangkitan saluran kencing atas (Pyelonephritis)

  • Sakit bahagian atas badan dan pinggang.
  • Demam tinggi dan menggigil.
  • Mual, muntah, kelemahan, keletihan dan rasa sakit umum.
  • Perubahan mental atau kekeliruan pada orang tua.

Ini adalah antara gejala paling serius daripada jangkitan saluran kencing kerana ia membayangkan penglibatan sistemik.

Terdapat beberapa punca jangkitan saluran kencing berulang. Antara penyebab penting jangkitan saluran kencing yang kerap atau berulang adalah:

  1. Halangan saluran kencing: Pelbagai keadaan boleh menyebabkan halangan saluran kencing.
  2. Jantina wanita: Kerana uretra yang lebih pendek, wanita lebih mudah mendapat UTI daripada lelaki.
  3. Persetubuhan: Wanita yang aktif secara seksual lebih kerap mendapat jangkitan saluran kencing jika dibanding dengan wanita yang tidak aktif secara seksual.
  4. Batu karang: Batu karang pada buah pinggang, ureter atau pundi kencing boleh menyekat aliran air kencing dan meningkatkan risiko UTI.
  5. Memasukkan kateter pada pundi kencing: Orang yang mempunyai kateter pada pundi kencing mempunyai risiko UTI yang lebih tinggi.
  6. Anomali saluran kencing kongenital: Kanak-kanak dengan anomali saluran kencing kongenital seperti refluks vesicoureteral (keadaan di mana urin mengalir terbalik dari pundi kencing sehingga ureter) dan injap uretra posterior mempunyai risiko UTI yang lebih tinggi.
  7. Hiperplasia prostatic benign: Lelaki lebih 60 tahun terdedah kepada UTI kerana prostat yang membesar (hiperplasia prostatic benign – BPH).
  8. Sistem imun yang rendah: Pesakit dengan kencing manis, HIV atau kanser mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk UTI.
  9. Punca-punca lain: Uretra atau ureter yang sempit, tuberkulosis pada saluran genito-urinari, pundi neurogenik atau diverticulum pundi kencing.

Ada yang beranggapan, sekiranya mengalami jangkitan saluran kencing akan menyebabkan kerosakan buah pinggang. Tetapi, jangkitan berulang pada saluran kencing bawah biasanya tidak menyebabkan kerosakan pada buah pinggang pada orang dewasa.

UTI pada orang dewasa boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang jika faktor-faktor predisposisi seperti batu karang, halangan atau penyempitan aliran air kencing dan tuberkulosis saluran genito-urinari tidak diperbetulkan.

Walaubagaimanapun, pada kanak-kanak kecil, rawatan jangkitan saluran kencing berulang yang lambat atau tidak betul boleh menyebabkan kerosakan yang berkekalan kepada buah pinggang terutamanya pada mereka yang mengalami refluks vesicoureteral. Kerosakan ini boleh mengakibatkan pengurangan fungsi buah pinggang dan tekanan darah tinggi di masa depan. Jadi masalah jangkitan saluran kencing lebih serius pada kanak-kanak berbanding orang dewasa.

Terdapat beberapa ujian atau pemeriksaan bagi individu yang mempunyai masalah jangkitan saluran kencing iaitu ujian air kencing, ujian kultur dan sensitiviti air kencing serta ujian darah.

Dapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berdekatan jika anda mempunyai masalah saluran kencing.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here