Home Segmen Kesihatan GIGI ANAK PERLU DIJAGA SEJAK LAHIR

GIGI ANAK PERLU DIJAGA SEJAK LAHIR

191
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

Penjagaan gigi anak perlu dititikberatkan oleh ibu bapa dari awal bagi memastikan gigi anak-anak kekal sihat sehingga dewasa.

Namun demikian, segelintir ibu bapa beranggapan kesihatan gigi hanya terletak pada warna gigi semata-mata.

Menurut kajian Kesihatan Pergigian Kebangsaan Kanak-kanak Prasekolah (NOHPS), terdapat 71.3% kanak-kanak berusia lima tahun sudah mempunyai gigi berlubang.

Masalah gigi bukan sahaja memberi impak negatif pada kesihatan anak, tetapi turut mempengaruhi mental mereka.

Walaupun anak-anak belum tumbuh gigi, gusi mereka perlu dibersihkan sebanyak dua kali sehari dan ibu bapa perlu menjadikan ia sebagai rutin harian.

Selain itu, normal bagi ibu bapa untuk memperkenalkan pelbagai jenis makanan baharu apabila anak mengalami proses tumbesaran.

Bagaimanapun, anak-anak tidak seharusnya diberikan makanan yang mempunyai kandungan garam dan gula yang tinggi jika mengimpikan gigi yang cantik dan sihat.

Di samping itu, pemeriksaan gigi pertama anak juga perlu dilakukan seawal usia setahun dan diikuti enam bulan sekali supaya sekiranya terdapat masalah, ia boleh dikesan dan dicegah sebelum bertambah buruk.

Cara penjagaan gigi anak-anak pada peringkat umur juga berbeza malah ibu bapa perlu melakukannya bagi mengelakkan gusi berdarah, ulser, gigi berlubang dan sebagainya.

  1. Selepas lahir, sebelum gigi bayi tumbuh: gunakan kain bersih dan lembap yang dililitkan pada hujung jari untuk mengelap gusi bayi pada waktu pagi dan malam.
  2. Selepas tumbuh gigi pertama: gunakan berus gigi mesra bayi bersama ubat gigi berfluorida untuk memberus gigi dan gusi anak dengan perlahan. Lakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari sebagai satu rutin.
  3. Memasuki umur prasekolah: pada usia ini, anak-anak sudah pandai memegang berus gigi sendiri tetapi memerlukan bimbingan ibu bapa supaya mereka boleh memberus gigi dengan betul dan bersih.
  4. Memasuki usia persekolahan (sekolah rendah): pada masa ini, anak-anak perlu memberus gigi tiga kali sehari disebabkan mereka lebih terdedah dengan pelbagai jenis makanan bagi mengelakkan terjadinya karies gigi.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here