Home Sukan PENALTI DE JONG BANTU PSV IKAT DORTMUND

PENALTI DE JONG BANTU PSV IKAT DORTMUND

EINDHOVEN, Belanda: Donyell Malen meledak satu gol menakjubkan menentang bekas kelabnya tetapi penalti babak kedua sumbangan Luuk de Jong membantu PSV Eindhoven seri 1-1 pada aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara berdepan Borussia Dortmund di Stadion Philips awal pagi tadi.

Pemain antarabangsa Belanda, Malen melakukan rembatan padu dari sudut sukar selepas 24 minit tetapi tuan rumah mencipta lebih banyak peluang dan akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila De Jong menyempurnakan sepakan penalti, diberikan kerana kekasaran oleh pertahanan Dortmund, Mats Hummels.

Gol itu melebarkan rekod tanpa kalah PSV di laman sendiri kepada 31 perlawanan bagi semua pertandingan dengan aksi kedua akan diadakan di Dortmund pada 13 Mac depan.

“Kami patut lebih bertenang dalam perlawanan ini,” kata Hummels kepada Amazon Prime. “Kami membenarkan suasana tegang menguasai diri. Saya saksikan satu pasukan Eindhoven yang boleh dikalahkan hari ini.

“Kami tidak cukup bagus dengan bola. Bagi perlawanan di gelanggang sendiri nanti, kami perlu memegang bola dengan lebih baik. Justeru saya amat yakin kami boleh mara.”

Perlawanan itu adalah yang pertama buat PSV pada peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dalam tempoh lapan musim dan mereka mengintai peluang untuk layak ke suku akhir buat kali pertama sejak musim 2006-07.

Dortmund mendahului menerusi jaringan mengagumkan daripada Malen, yang beraksi empat tahun di PSV sebelum berpindah ke Bundesliga pada 2021.

Malen dikepung dua pertahanan tuan rumah tetapi tetap mampu melakukan rembatan padu dari jarak 14 ela yang terkena palang sebelum mengatasi penjaga gol Walter Benitez.

PSV dianugerahkan penalti oleh pengadil Srdjan Jovanovic pada minit ke-56 apabila Hummels mengasari Tillman.

Pemain pertahanan itu menyentuh bola sebelum bertembung dengan pemain antarabangsa Amerika Syarikat kelahiran Jerman, namun VAR mengesahkan keputusan di tengah padang sekali gus mengecewakan pelawat.

De Jong mudah menyempurnakan sepakan dari jarak 12 ela untuk mencipta sejarah di kelab itu kerana dia berjaya mengatasi pencapaian Ruud van Nistelrooy sebagai penjaring gol terbanyak PSV dalam Liga Juara-Juara dengan sembilan gol. – REUTERS,BH Online-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here