SHAH ALAM: Malaysia ada kekuatan untuk menjuarai Piala Thomas cuma masih belum cukup padu sebagai sebuah pasukan.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata siapa pun pemain yang dipilih, dia harus menunjukkan komitmen tinggi kepada pasukan selain perlu memiliki sifat patriotik yang tinggi bagi menggalas cabaran negara.
“Kalau kita tiada satu komitmen atau solid sebagai satu pasukan, kita hanya nampak kuat saja. Kalau orang Indonesia bilang, macam tong kosong tetapi bunyinya nyaring. Ini yang kita harus perbaiki.
“Pemain juga harus ada sifat patriotik, saya pernah ada pengalaman (ketika bersama skuad Indonesia), kalau ego saya lebih besar daripada Taufik (Hidayat) atau siapa pun dalam pasukan, kita memang tidak akan mampu (juara Piala Thomas 2002),” katanya.
Rexy berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan skuad negara ke Piala Thomas di Chengdu, China pada April depan selepas menyaksikan Malaysia gagal pertahan kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), semalam.
Skuad negara yang tempang tanpa khidmat dua perseorangan utama, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong selepas masing-masing mengalami masalah kesihatan dan kecederaan terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara apabila tewas 0-3 di tangan China pada aksi final di Pusat Konvensyen Setia City, di sini.
Mengulas lanjut, Rexy berkata komitmen daripada semua pemain tidak kira pemain kebangsaan mahupun profesional adalah sangat penting dalam usaha untuk membentuk sebuah pasukan yang padu bagi menjadi pencabar utama kejuaraan Piala Thomas.
“Saya ada pengalaman bersama pasukan Thailand (sebagai ketua jurulatih) yang mana di sana banyak pemain dari kelab dan kebangsaan. Kita adakan mesyuarat dengan kelab, kita dapatkan komitmen semua untuk mengadakan kem latihan pusat untuk pemain benar-benar fokus membuat persiapan.
“Saya lihat ini yang masih kurang dalam pasukan kita dan kita perlu berusaha ke arah itu,” kata pemenang pingat emas Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu dalam acara beregu lelaki bersama gandingannya, Ricky Subagja.
Ditanya sama ada dia mahukan pasukan terkuat ke Piala Thomas, Rexy, berkata kejayaan tidak akan datang dengan hanya bersandarkan harapan jurulatih sebaliknya pemain yang perlu menunjukkan kesungguhan ke arah itu kerana mereka yang beraksi di dalam gelanggang.
“Sebagai contoh, kalau saya sebagai ayah, saya tahu kamu mampu tetapi anak tidak mahu bagaimana? Sekarang, juara itu bukan daripada saya, juara itu datang daripada orang yang mahu menjadi juara dan yang bermain di lapangan.
“Kita (jurulatih) di sini cuma boleh bersuara dan memberikan arahan. Namun, yang mahu juara siapa, bukan kita. Kalau kita cakap mahu juara, ya saya mahu juara kerana mentaliti saya adalah mentaliti juara,” katanya.
-BH Online-
Imedikel TV






