DOHA: Qatar mempertahankan gelaran ‘Raja Asia’ di laman sendiri selepas membenam Jordan 3-1 pada aksi final Piala Asia 2023 di Stadium Lusail, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan Bartolome Marquez menjadi pasukan kelima berjaya mempertahankan trofi Piala Asia selepas Korea Selatan (1956,1960), Iran (1968,1972,1976), Arab Saudi (1984,1988) dan Jepun (2000, 2004).
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Lebih manis, penyerang mereka, Akram Afif turut dinobatkan selaku penjaring terbanyak Piala Asia 2023 dengan lapan gol selepas melakar hatrik pada aksi kemuncak itu dengan meledak ketiga-tiga gol menerusi sepakan penalti.


Tuan rumah menghantar amaran awal dengan dua peluang terbaik dalam tempoh 10 minit pertama, kedua-duanya menerusi Akram Afif pada minit kelima dan kelapan namun tidak cukup menggugat Yazeen Abulaila.
Penjaga gol Qatar, Meeshal Barsham berdepan ujian pertama pada minit ke-15 menerusi rembatan dari luar kotak penalti Yazan Al-Naimat yang berjaya ditepis penjaga gawang Al-Sadd itu.
Tindakan Abdallah Nasib mengasari Akram pada minit ke-19 mengundang padah selepas Qatar diberikan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Akram sendiri meskipun Abulaila berjaya merebahkan badannya ke arah yang tepat.

Abulaila memastikan Jordan tidak ketinggalan jauh apabila menyelamatkan tandukan Lucas Mendes pada minit ke-32 dan Jordan beroleh peluang terbaik di hujung babak pertama hasil gerakan Ali Olwan namun percubaan Mousa Altamari dihalang pertahanan Qatar.
Bersambung babak kedua, Qatar dilihat mengendurkan permainan dan kesempatan ini digunakan Jordan untuk mengasak secara bertubi-tubi yang dihalang ketangkasan Meeshal dalam mengawal gawangnya.
Meeshal menafikan percubaan Ehsan Haddad pada minit ke-48 disusuli percubaan akrobatik Yazan Al-Arab seminit berselang dan satu lagi percubaan Jordan pada minit ke-60.
Gol penyamaan Jordan terhasil pada minit ke-66 hasil jaringan Al-Naimat namun kegembiraan Jordan direntap apabila Qatar sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas semakan semula menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).
Akram menyudahkan sepakan penalti itu untuk meletakkan Qatar mendahului 2-1 pada minit ke-72 sebelum Jordan ditimpa malang kali ketiga pada minit ketiga masa tambahan dengan satu lagi sepakan penalti yang disempurnakan Akram. -AGENSI-BH ONLINE-
Imedikel TV






