Home Buletin Semasa KUMPUL PEMPENGARUH DI MALAYSIA MENERUSI ‘INFLUENCER CENTRE’

KUMPUL PEMPENGARUH DI MALAYSIA MENERUSI ‘INFLUENCER CENTRE’

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kepesatan teknologi masa kini menggalakkan orang ramai beralih kepada dunia siber.

Hal ini menjadikan munculnya individu yang menjadi pempengaruh atau dinamakan sebagai ‘influencer’ yang mana mereka biasanya mempunyai pengikut yang ramai.

Bagaimanapun, menjadi seorang pempengaruh juga perlu mempunyai ilmu agar dapat memberi sudut yang positif dalam kalangan masyarakat.

Ketua pemasaran dan jualan, Mohd Hazrey Husman@Othman berkata, pihaknya iaitu Caz Talents mengambil inisiatif untuk melatih pempengaruh dan memberi tunjuk ajar yang betul agar dipandang baik pada mata masyarakat menerusi pelaksanaan sebuah influencer centre.

“Tujuan pelaksanaan influencer centre ini adalah untuk mengajar pempengaruh yang ada di Malaysia terutamanya Kelantan untuk menjadi seorang pempengaruh yang berilmu.

“Hal ini kerana, terdapat beberapa isu yang berlaku sebelum ini, ada sesetengah pempengaruh menyatakan tidak perlu kepada pendidikan untuk menjadi seorang pempengaruh, sedangkan pihak kami berfikiran untuk menjadi seorang pempengaruh yang baik, mereka perlu mempunyai ilmu,” katanya kepada pemberita di Wisma Telipot, di sini, baru-baru ini.

Mohd Hazrey berkata, menerusi pelaksanaan influencer centre, pihaknya akan mendidik pempengaruh tentang kaedah yang betul untuk berdepan dengan kamera agar orang ramai mendapat pengajaran yang baik daripada mereka.

Jelasnya, yuran penyertaan akan dikenakan kepada mereka yang menyertai namun kos itu tidak membebankan mereka.

“Di Malaysia, kita dapati sudah ramai pempengaruh namun malangnya kita tengok dari segi kualiti itu kurang, mungkin dengan terjadinya influencer centre ini kita boleh mengajar mereka untuk mengembangkan lagi agar dapat dikenali jauh di luar sana.

“Influencer centre ini merupakan pelaksanaan yang terawal selepas Pulau Pinang dan inshaallah kita akan membawa mereka ke negara Cina kerana kita sudahpun mempunyai jalinan yang baik bersama mereka,” ujarnya.

Tambahnya, pempengaruh di Malaysia perlu mengambil peluang yang sedia ada untuk mengikuti jejak langkah sebagaimana pempengaruh di Cina berkembang maju dengan teknologi mereka yang cukup hebat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here