UKRAINE: Agensi Keselamatan Ukraine (SBU) mendedahkan amalan rasuah dalam pembelian senjata oleh tentera negara itu berjumlah kira-kira AS$40 juta (RM189 juta).
Pendedahan penipuan disahkan Kementerian Pertahanan Ukraine itu dijangka memberi kesan besar di negara yang dibelenggu pencerobohan hampir dua tahun oleh Russia.
Perjuangan untuk membasmi rasuah endemik kekal menjadi isu utama ketika Ukraine mendesak untuk mendapatkan keahlian dalam Kesatuan Eropah (EU).
SBU berkata, siasatan mendedahkan pegawai Kementerian Pertahanan dan pengurus pembekal senjata Lviv Arsenal, mencuri hampir 1.5 bilion Hryvnia dalam pembelian peluru.
“Hasil siasatan mendapati bekas dan pegawai tinggi Kementerian Pertahanan dan ketua syarikat gabungan terbabit dalam penyelewengan itu.
“Penyelewengan itu membabitkan pembelian 100,000 peluru mortar untuk tentera,” menurut SBU.
SBU berkata kontrak untuk peluru itu dimiliki Lviv Arsenal pada Ogos 2022 dan pembayaran dibuat terlebih dahulu dengan beberapa dana dipindahkan ke luar negara.
Bagaimanapun tiada senjata diberikan dengan beberapa dana kemudian dipindahkan ke akaun asing lain.
Menurut SBU, lima individu di kementerian dan pembekal senjata diberikan ‘notis syak wasangka’ peringkat pertama dalam prosiding undang-undang Ukraine.
Seorang suspek ditahan ketika cuba menyeberangi sempadan Ukraine.
Rasuah dalam tentera menjadi isu yang sangat sensitif di Ukraine kerana ia cuba mengekalkan semangat awam ketika perang dan mengemukakan kesnya untuk menyertai 27 negara EU.
Menteri Pertahanan, Oleksii Reznikov dipecat September lalu kerana pelbagai kes rasuah walaupun menikmati reputasi yang kukuh ketika mewakili Ukraine dalam perbincangannya dengan sekutu Barat.
Walaupun tidak didakwa terbabit secara peribadi dalam rasuah, beberapa kes melanda tentera di bawah pengawasannya iaitu pembekalan makanan tentera dan pakaian sesuai untuk anggota keselamatan. – REUTERS, BH Online –
Imedikel TV






