Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sebuah filem genre fiksyen sejarah ‘Sea Gypsies’ dijangka akan diterbitkan pada hujung tahun 2024 sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan China.
Penerbit filem Sea Gypsies, Dr. Mohd Aliff Najmi Abdullah atau lebih dikenali Eddy Pak berkata, penggambaran filem tersebut akan bermula pada April tahun ini.
“Pihak kami melaksanakan segala persediaan untuk penggambaran kerana sebaik sahaja pembikinan filem bermula, pengeluaran duit akan berterusan dan target kita adalah pada bulan 4 tahun ini.
“Segala perbelanjaan juga sudah disediakan dan anggaran kos keseluruhan bagi penggambaran filem itu adalah RM150 juta,”katanya ketika sidang media selepas majlis menandatangani persefahaman (MOU) tajaan iklan produk ILeila dalam filem Sea Gypsies di Wisma Imedikel, di sini, semalam.
Dr. Aliff berkata, filem itu diilhamkan dari 1,500 tahun dahulu mengenai hubungan persahabatan, keamanan, konflik dan peperangan antara kerajaan Chola, Dinasti Song dan Kerajaan Melayu Sri Vijaya.
Katanya, beliau juga ingin mencungkil kepakaran rakyat Malaysia dalam dunia penggambaran yang gemilang dengan menampilkan pelakon utama dari Malaysia yang boleh menyelam dan berlawan di dasar laut sebagai mana watak hero dari China.
“Kita akan tengok lokasi yang sesuai di Sabah, Melaka dan Kelantan untuk penggambaran filem Sea Gypsies.
“Aquarium di kapal yang bertempat di kepulauan perkampungan melayu akan kita gunakan untuk penggambaran dan selepas selesai kita dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memberi satu impak yang mana menaikkan nilai aquarium di kepulauan itu,” katanya.
Tambah Dr. Aliff walaupun ekonomi dunia semakin menurun namun beliau bertekad untuk melakukan filem berkenaan sebagai tanda perasaan kasih dan sayang kepada negara yang semakin menebal.
IMedikel TV






