Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan sehingga ada yang obses untuk kelihatan lebih menarik dengan menyuntik drip pemutih dari rumah.
Pengarah Bahagian Pemasaran Intelek Ceria Group (ICG) Healthcare Sdn. Bhd, Bella Mislan, berkata namun, bagi mereka yang ingin mengambil sebarang produk makanan atau suntikan perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar.

“Sebenarnya untuk sebarang program kesihatan ataupun kecantikan kita perlukan khidmat nasihat daripada pakar perubatan untuk memastikan rawatan yang kita lakukan itu adalah yang diiktiraf.
“Seandainya tidak diiktiraf apa-apa yang berlaku memang susah untuk pihak yang berwajib bertanggungjawab. Jadi, nasihat saya kepada wanita-wanita di luar sana untuk lebih sihat pastikan anda dapatkan nasihat dan rundingan daripada doktor supaya doktor boleh berikan nasihat daripada apa yang anda perlukan,”katanya.
Dia berkata demikian di sidang media pada Majlis Beauty Roadshow Event yang bertemakan “Cantik Seindah Mutiara,” di Hotel Perdana, di sini.
Dalam pada itu, Bella berkata program berkaitan wanita itu julung kali diadakan dan akan diteruskan di masa akan datang.

“Program wanita ini kita buat khas untuk kecantikan dan kesihatan. Kecantikan dan kesihatan tu maksudnya dalaman dan luaran wanita.
“Wanita, kecantikan dan kesihatan adalah perkara yang sinonim. Jadi sebab tu kita adakan majlis ini khas untuk wanita.
“Program-program tersebut adalah taklimat kesihatan daripada salah seorang doktor kita iaitu Profesor Dr. Wan Azman iaitu doktor pembedahan plastik,”katanya.
Kira-kira 125 peserta menyertai program tersebut termasuk Roseville Spa & Therapy, Noir dan Bereskin.
IMedikel TV






