BAGHDAD: Serangan peluru berpandu di Syria, Lubnan, Iraq dan Yaman, semalam mendorong perhatian terarah kepada peningkatan risiko perang di Gaza yang mencetuskan konflik serantau lebih luas, antara Iran dan sekutunya yang menentang Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Iran berkata, lima daripada Pengawal Revolusinya terbunuh dalam serangan peluru berpandu Israel ke atas sebuah rumah di Damsyik, manakala sumber keselamatan di Lubnan berkata serangan Israel di sana membunuh seorang anggota Hizbullah yang disokong Iran.
Lewat semalam juga, peluru berpandu dan roket dilancar pejuang yang disokong Iran di Iraq, dengan kumpulan itu menyasarkan tentera AS.
Ia mengena pangkalan udara al-Asad, kata Komando Pusat AS.
Pihak berkuasa itu sedang menilai kecederaan dialami kakitangan AS, namun seorang anggota perkhidmatan Iraq cedera.
Amerika Syarikat memintas peluru berpandu yang disasarkan ke Laut Merah oleh pemberontak Houthi Yaman, berkata ia menimbulkan ancaman kepada penghantaran.
Konflik di Gaza bermula pada 7 Oktober 2023, apabila militan Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel, membunuh lebih 1,200 orang dan menjadikan lebih 200 tebusan.
Sejak itu, Israel telah melancarkan operasi ketenteraan. Sudah lebih 100 hari sejak itu. 24,927 penduduk Gaza telah terbunuh dan 62,388 lagi cedera, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Hamas adalah sebahagian daripada “Axis of Resistance” Iran, sebuah perikatan serantau yang turut merangkumi Hizbullah Lubnan, kerajaan Presiden Bashar al-Assad di Syria, kumpulan pejuang Syiah di Iraq dan Houthi yang menguasai sebahagian besar Yaman.
“Kami sangat bimbang,” kata Putera Faisal bin Farhan kepada CNN dalam temubual yang disiarkan hari ini.
Katanya, rantau itu kini dalam tempoh yang sukar dan berbahaya.
“Itulah sebabnya kita menyeru kurangkan ketegangan,” katanya.
Sumber serantau dan Iran berkata, Iran dan Hizbullah mempunyai pejuangnya di Yaman yang membantu serangan langsung ke atas perkapalan, namun Houthi menafikannya. -Reuters, HMetro Online-
IMEDIKEL TV






