Home Sukan FOREST, EVERTON MARA KE PUSINGAN KEEMPAT PIALA FA

FOREST, EVERTON MARA KE PUSINGAN KEEMPAT PIALA FA

LONDON: Nottingham Forest dan Everton mengetepikan ancaman pemotongan mata Liga Perdana Inggeris apabila masing-masing layak ke pusingan keempat Piala FA.

Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Forest menewaskan kelab divisyen tiga, Blackpool 3-2 dalam masa tambahan, manakala Everton mengatasi Crystal Palace 1-0.

Ia adalah tonik terbaik buat Forest dan Everton, yang dirujuk kepada suruhanjaya bebas oleh Liga Perdana Inggeris selepas mengaku melanggar peraturan kewangan.

Kedua-dua kelab itu didakwa melanggar peraturan keuntungan dan kelestarian liga untuk musim 2022-23 dan berisiko dihukum dengan pemotongan mata.

Everton sudah dipotong 10 mata musim ini kerana kesalahan melepasi had kerugian dibenarkan pada musim 2021-22.

Kelab Merseyside itu sedang merayu hukuman berkenaan – pemotongan mata paling besar dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Forest kendalian Nuno Espirito Santo hampir dikejutkan Blackpool yang bangkit menyamakan kedudukan selepas ketinggalan dua gol.

Forest mendahului menerusi jaringan minit ke-16 Ryan Yates dan Danilo, kurang seminit selepas permainan bersambung di babak kedua.

Albie Morgan merapatkan jurang dengan rembatan padu pada minit ke-61 dan Kyle Joseph menyamakan kedudukan 12 minit sebelum tamat permainan.

Bagaimanapun penyerang New Zealand, Chris Wood meredakan tekanan Forest apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-110.

Forest akan bertandang ke laman Bristol City, yang mengejutkan West Ham di pusingan ketiga.

Everton akan berdepan Luton di Goodison Park pada pusingan keempat selepas Andre Gomes meledak gol kemenangan pada minit ke-42.

Norwich turut menempah tempat ke pusingan keempat bertemu Liverpool selepas menewaskan Bristol Rovers 3-1. – AFP,BH Online-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here