MIDDLESBROUGH, England: Gol saat akhir Matty Cash membantu Aston Villa layak ke pusingan keempat Piala FA Inggeris buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun dengan kemenangan 1-0 ke atas Middlesbrough awal pagi tadi.

Memetik laporan REUTERS menerusi berita harian Kedua-dua pasukan dilihat akan bermain aksi ulangan sebelum Cash memecah kebuntuan pada minit ke-87 dengan gol keempatnya musim ini, rembatan padu dari luar kotak penalti yang terkena pemain Middlesbrough, Emmanuel Latte Lath sebelum menerjah jaring.
“Gol tetap gol, jadi saya berseronok dengannya,” kata pemain pertahanan itu kepada BBC.
“Saya berusaha dalam latihan melakukan percubaan dari luar kotak penalti, kami sudah berlatih dengan ada tiga pemain di kawasan itu dan pada fikiran saya adalah untuk merembat masuk.”
Villa, yang memenangi Piala FA tujuh kali tetapi tidak menang sejak tahun 1957, gagal mara ke pusingan keempat sejak 2016.
“Pengurus menjelaskan di hotel kami tidak bertindak baik dalam pertandingan ini,” kata Cash. “Baguslah akhirnya kami melakukannya (melepasi pusingan ketiga) malam ini.
“Pengurus amat bagus dari segi itu dan apa sahaja pertandingan yang kami sertai kami akan keluar dan melakukan yang terbaik untuk meraih keputusan yang dikehendaki,” katanya.
“Di Eropah kami bertindak baik dan dalam liga serta malam ini juga.”

Pengurus Villa, Unai Emery pasti lega untuk mengelakkan perlawanan ulangan selepas pasukannya bermain lapan perlawanan yang meletihkan sepanjang Disember.
Mereka bersaing hebat dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris di tangga kedua, tiga mata di belakang pendahulu Liverpool.
Pelawat mempunyai beberapa peluang di Stadium Riverside, termasuk pada awal babak kedua apabila Jhon Duran melonjak tinggi menyambut sepakan sudut tetapi tandukan kencangnya terkena palang manakala rembatan jarak jauh Nicolo Zaniolo sedikit tersasar.
Emery mencari gol kemenangan pada 20 minit terakhir dengan membawa masuk Zaniolo, Douglas Luiz, Ollie Watkins dan Moussa Diaby, yang menjaringkan 28 gol dalam kalangan mereka musim ini.
Kelab Liga Kejuaraan, Middlesbrough adalah naib juara Piala FA pada musim 1996-97.
“Amat bangga,” kata pengurus Middlesbrough, Michael Carrick.
“Kekecewaan yang dirasakan pemain membuktikan betapa kami beraksi bagus dalam perlawanan ini. Tidak mudah menentang pasukan yang bagus sebegitu.” – REUTERS-BH ONLINE-
Imedikel TV






