Home Sukan ISAK MEMUKAU NEWCASTLE SINGKIR SUNDERLAND

ISAK MEMUKAU NEWCASTLE SINGKIR SUNDERLAND

SUNDERLAND, England: Newcastle United menamatkan penantian 13 tahun untuk menewaskan musuh tradisi Sunderland ketika dua gol Alexander Isak mencetus kemenangan 3-0 pada pusingan ketiga Piala FA Inggeris lewat malam tadi.

Memetik laporan AFP menerusi berita harian

Dalam pertembungan jiran tetangga pertama Tyne and Wear sejak tahun 2016, Newcastle melenyapkan cabaran Sunderland berikutan gol sendiri Danny Ballard pada babak pertama dan dua gol Isak selepas rehat di Stadium of Light.

Newcastle kalah enam daripada tujuh pertemuan terakhir dengan Sunderland, namun dengan persembahan tersusun menjurus kepada kemenangan pertama jiran tetangga buat Black Cats sejak menang 1-0 pada 2011.

Selepas empat kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan, jurulatih Newcastle, Eddie Howe berharap pertembungan jiran tetangga itu menjadi detik “pengubah musim” untuk mengubat kegagalan mereka dalam kempen Liga Juara-Juara dan persembahan buruk dalam Liga Perdana Inggeris.

“Kami menangani keadaan dengan amat baik, berani dengan bola dan kami bermain secara tersusun. Kami tidak membiarkan penonton menguasai kami,” kata Howe.

“Hari ini semuanya bagus buat kami. Ia membantu kami kekal bersaing dalam satu pertandingan penting dan memberikan kami harapan.”

Penyokong Newcastle dibawa ke stadium dengan bas diiringi konvoi polis yang besar, kemudian diberikan tiket perlawanan dalam usaha mengelak kejadian ganas yang mencemari pertembungan terdahulu.

Di sebalik cemuhan dan jeritan memekakkan telinga daripada penyokong tuan rumah, Newcastle tetap tenang dan mendahului pada minit ke-35 apabila Ballard tertampan masuk hantaran silang Joelinton ke dalam golnya sendiri.

Sunderland menghadiahkan Newcastle gol kedua mereka kurang 60 saat selepas babak kedua bersambung apabila Miguel Almiron merampas bola daripada Pierre Ekwah dalam kawasannya sendiri dan mengumpan kepada Isak untuk meledak masuk dari jarak 10 meter.

Kekasaran Ballard ke atas Anthony Gordon pada minit ke-90 menghadiahkan lawan penalti dan Isak tenang menyempurnakannya untuk melengkapkan malam gemilang buat Newcastle. – AFP-BH ONLINE-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here