Home Luar Negara GEMPA JEPUN: ANGKA KEMATIAN, CEDERA MENINGKAT

GEMPA JEPUN: ANGKA KEMATIAN, CEDERA MENINGKAT

141
0

TOKYO: Angka kematian akibat siri gempa bumi kuat yang melanda tengah Jepun dan sekitarnya meningkat kepada 30 orang, lapor Xinhua, memetik laporan agensi berita nasional Kyodo, hari ini.

Bangunan runtuh dan kebakaran menyebabkan sekurang-kurangnya 30 orang maut di wilayah Ishikawa yang paling terjejas.

Kebakaran besar berlaku di sekitar pasar pagi Wajima, tempat pelancongan yang terkenal, membabitkan kemusnahan kira-kira 200 bangunan.

Mengikut pihak berkuasa bandar Wajima, mangsa termasuk seorang remaja lelaki dari kawasan situ.

Runtuhan bangunan juga dilihat di bandar itu, dengan 14 kes orang tertimbus.

Sementara itu, lebih banyak laporan kerosakan dan maklumat mengenai orang yang terperangkap diterima majlis perbandaran lain termasuk kecederaan dilaporkan di wilayah Niigata, Toyama, Fukui dan Gifu akibat bangunan runtuh atau rosak.

Menyifatkan kerja menyelamat mangsa yang terjejas akibat gempa bumi itu sebagai pertarungan dengan masa, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata, kerajaan menghantar beberapa pasukan pertahanan ke kawasan yang terjejas dan akan terus memberikan bantuan.

Satu siri gempa bumi kuat, dengan gempa besar pada awalnya mencapai 7.6 magnitud, melanda pada Isnin di Semenanjung Noto di wilayah Ishikawa.

Agensi Meteorologi Jepun secara rasmi menamakannya Gempa Bumi Semenanjung Noto 2024.

Sejak semalam, Jepun dilanda sekurang-kurangnya 155 gempa bumi. – BERNAMA, BH Online

IMEDIKEL TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here