LONDON: Kapten Luton Town, Tom Lockyer berkata dia “semakin sihat” selepas mengalami serangan jantung ketika aksi Liga Perdana Inggeris di Bournemouth bulan lalu.
Pemain antarabangsa Wales itu dimasukkan ke hospital pada 16 Disember lalu selepas rebah di padang pada minit ke-65 perlawanan yang kemudiannya ditangguh.
Dia kemudian dibenarkan keluar hospital pada 21 Disember lalu selepas peranti ICD (Implantable Cardioverter Defibrillator) dipasang untuk mengelak satu lagi serangan jantung.
“Saya ingin menyatakan perkembangan saya amat bagus dan saya berasa sihat sekarang,” tulis pemain pertahanan itu di laman Instagram.

“Alasan saya semakin bagus semuanya kerana tindakan pantas pemain, staf, doktor dan paramedik. Saya berasa bersyukur ini berlaku terhadap saya di depan wira-wira ini. Mereka menyelamatkan nyawa saya. Saya tidak akan lupakan apa yang anda lakukan terhadap saya.”
Hantaran Lockyer termasuk satu gambar dengan nama doktor dan pegawai yang membantu merawatnya.
“Saya tekankan betapa pentingnya seberapa ramai yang mungkin mengetahui mengenai CPR. Ia benar-benar menyelamatkan nyawa, seperti saya,” jelas Lockyer.
Luton kembali beraksi pada 23 Disember dengan kemenangan 1-0 ke atas Newcastle United ketika peminat memberikan penghargaan terhadap Lockyer di stadium.
“Melihat sepanduk di stadium dan mendengar nama saya dilaungkan terlalu bemakna buat saya dan keluarga,” kata Lockyer.
“Sekalipun saya sedih tidak terbabit, saya berasa penuh bangga melihat pemain meneruskan perjuangan tanpa saya. Semangat juang yang saya lihat dalam tiga perlawanan terakhir memberikan saya kekuatan yang diperlukan.” – REUTERS-BH Online-






