Home Sukan SETIAP MINGGU SATU PERJUANGAN-POSTECOGLOU

SETIAP MINGGU SATU PERJUANGAN-POSTECOGLOU

LONDON: Tottenham Hotspur menamatkan rentetan mengagumkan Bournemouth dengan kemenangan 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris menerusi gol Pape Matar Sarr, Son Heung Min dan Richarlison lewat malam tadi.

Bournemouth tidak kalah dalam tujuh perlawanan liga dengan enam kemenangan dalam tempoh itu dan mereka pasti bingung bagaimana catatan itu tidak dapat dilebarkan ketika mereka mendominasi dalam hujan lebat di London utara.

Sarr memberikan Tottenham gol pendahuluan sebelum dia mengalami kecederaan manakala kapten Heung Min dan Richarlison meledak gol pada lewat aksi selepas tuan rumah ternyata bertuah berdepan pasukan pelawat yang amat licik.

Alex Scott membalas satu gol buat Bournemouth pada minit ke-84 tetapi ia jelas gol saguhati buat pasukan kendalian Andoni Iraola yang mana 24 percubaan gol mereka sekali ganda berbanding jumlah Tottenham.

Sekalipun kurang meyakinkan, kemenangan Tottenham membolehkan mereka memasuki Tahun Baharu dalam perjuangan sengit untuk merebut penamat kelompok empat teratas.

Mereka kini di tangga kelima dengan 39 mata daripada 20 perlawanan, satu mata di belakang pasukan tangga keempat Arsenal dan hanya tiga mata berbanding pendahulu Liverpool yang beraksi kurang satu perlawanan.

“Setiap minggu adalah satu perjuangan dan kami perlu berjuang hari ini. Pada masa sama saya fikir kami bermain dengan amat bagus,” kata pengurus Tottenham, Ange Postecoglou.

“Kami cuba membentuk sesuatu. Agak menyakitkan kerana saya kerap mengulanginya tetapi kami cuba membentuk pasukan yang bermain secara agak berbeza dan mempunyai daya tahan namun anda memerlukan masa untuk mencapainya.” – REUTERS-BH Online-

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here