JOS: Tentera mengesahkan seramai 16 terbunuh dalam serangan membabitkan pengembala dan petani di bahagian utara tengah Nigeria.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian Kapten Oya James, berkata, pertempuran antara dua kumpulan itu berlaku di kampung Mushu di negeri Plateau, tengah malam kelmarin.
“Pertempuran antara pengembala dan petani adalah serangan yang biasa berlaku di kawasan itu,” katanya kepada AFP.
Sementara itu, salah seorang penduduk kampung, Markus Amorudu, berkata dia dan keluarganya sedang tidur sebelum terkejut mendengar bunyi tembakan kuat.
“Kami berasa sangat takut dan ramai bersembunyi kerana penyerang bertindak menangkap penduduk kampung sehingga ada yang terbunuh dan cedera,” katanya kepada AFP.
Difahamkan, anggota keselamatan sudah dikerahkan untuk mengawal keadaan antara pengembala beragama Islam, dan petani yang merupakan penganut Kristian.
Jurucakap Gabenor Caleb Mutfwang, Gyang Bere, berkata pemimpin negeri terbabit mengutuk serangan terbaharu itu sebagai biadab, kejam dan tidak wajar.
Bere berkata, gabenor turut berikrar akan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Langkah proaktif akan diambil kerajaan untuk membendung serangan berterusan terhadap rakyat yang tidak bersalah,” katanya.
Wilayah terbabit berada di sempadan antara utara Nigeria yang kebanyakannya Muslim dan selatan, dengan majoriti penduduk adalah Kristian.
Selama beberapa tahun, mereka bergelut dengan ketegangan etnik dan agama.
Sehingga kini motif dan punca serangan masih belum diketahui. – AFP, BH Online –
I Medikel TV






