GAZA: Pejuang Palestin Hamas menggesa siasatan antarabangsa berhubung pelaksanaan hukuman mati tanpa bicara yang didakwa dilakukan tentera Israel di semenanjung Gaza yang kini dilanda perang.
Melalui kenyataan, Hamas mendakwa sudah mengumpul keterangan menunjukkan tentera Israel melaksanakan hukuman mati tanpa perbicaraan terhadap 137 orang awam Palestin di utara semenanjung Gaza, termasuk bandar Gaza sejak serangan darat israel pada 7 Oktober lalu.
Menurut laporan AFP menerusi Berita Harian kumpulan itu menuduh tentera Israel menggali lubang besar di timur kota Gaza dan menempatkan puluhan rakyat yang ditahan di dalamnya, sebelum melaksanakan hukuman mati ke atas mereka.
AFP bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan itu.
Israel, melalui kenyataan, berkata pihaknya tidak maklum mengenai dakwaan terbabit dan mahu butiran lanjut untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.
Katanya, tentera berperang dengan Hamas yang terbukti tidak menghargai kebenaran atau ketepatan.
Semalam, kementerian kesihatan Hamas berkata, puluhan rakyat Palestin terkorban minggu ini dan dibunuh dengan sewenang-wenangnya semasa operasi ketenteraan Israel di bandar utara Jabalia.
Tentera Israel bagaimanapun tidak mengulas secara langsung mengenai dakwaan itu tetapi menjelaskan akan memastikan serangannya hanya terhadap sasaran tentera dan mematuhi peruntukan undang-undang antarabangsa.
Rabu lalu, pejabat hak asasi manusia pertubuhan bangsa-bangsa bersatu (PBB) berkata, pihaknya menerima laporan bahawa tentera israel membunuh sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin yang tidak bersenjata, sekali gus mewujudkan kemungkinan berlaku jenayah perang di Gaza.
Katanya, pembunuhan itu didakwa dilakukan di kejiranan Rimal di bandar Gaza minggu ini dan menggesa Israel untuk membuka siasatan.
Seorang pegawai Israel, yang tidak mahu dikenali, bagaimanapun menolak dakwaan itu dan menuduh ia adalah satu lagi contoh pendekatan partisan dan prejudis terhadap Israel oleh badan PBB.
“Tuduhan itu tidak lain hanyalah fitnah semata-mata”, katanya. -AFP, BH ONLINE-
IMEDIKEL TV






