New Delhi: Wanita dari negeri Uttar Pradesh di India yang membakar suaminya kerana kecewa dengan wajah gelap lelaki itu, dihukum penjara seumur hidup.
Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro, Mahkamah India minggu ini, menjatuhkan hukuman berkenaan selepas mendapati wanita itu, Premshree, 26, bersalah terhadap tuduhan yang dilakukan pada 2019.
Premshree berkahwin dengan suaminya Satyaveer Singh, 25, iaitu penduduk perkampungan Bicheta di Kurh Fatehgarh dan dikurniakan anak perempuan pada November 2018.
Bagaimanapun rumah tangga mereka dibadai konflik selepas Premshree dikatakan kecewa dengan rupa dan warna kulit suaminya serta berulang kali meminta cerai.
Meskipun konflik berterusan, Satyaveer tetap setia terhadap perkahwinan itu sehinggalah pada 15 April 2019, Premshree menyiram Satyaveer yang sedang tidur dengan petrol dan membakarnya.
Satyaveer dirawat di hospital dalam keadaan kritikal sebelum dilaporkan meninggal dunia.
Abang Satyaveer, Harveer Singh memfailkan tuntutan di bawah kanun menyebabkan kematian yang membawa kepada penahanan Premshree.
Selepas empat tahun, mahkamah akhirnya pada Selasa lalu mengesahkan pengisytiharan kematian Satyaveer yang menamakan isterinya sebagai pembunuh.
Dalam pembelaannya, Premshree mendakwa cuba menyelamatkan suaminya ketika kejadian dan turut mengalami kecederaan lecur. – AGENSI, HMetro –
IMEDIKEL TV






