Home Luar Negara ANGKA KEMATIAN DI GAZA MENINGKAT KEPADA 15,523

ANGKA KEMATIAN DI GAZA MENINGKAT KEPADA 15,523

116
0

GAZA: Angka kematian akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 15,523, sejak bermulanya konflik pada 7 Oktober lalu, kata Kementerian Kesihatan Gaza.

“Jumlah (korban) pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza mencecah 15,523 sejak 7 Oktober lalu… ” kata jurucakap kementerian, Ashraf al-Qedra dalam sidang media, lapor Agensi Anadolu.

Jumlah mangsa cedera dalam tempoh sama meningkat kepada 41,316, tambah Al-Qedra.

Berhubung jumlah kakitangan penjagaan kesihatan yang terbunuh, al-Qedra mengesahkan seramai 281 individu maut, dengan ratusan cedera.

Selain itu, 56 ambulans dan bilangan sama untuk kemudahan kesihatan, musnah sepenuhnya, manakala 20 hospital tidak beroperasi, bersama-sama dengan 46 pusat jagaan primer.

Al-Qedra memaklumkan, tentera Israel menangkap empat anggota paramedik pada Sabtu, ketika mereka menuju ke utara dari Khan Yunis di selatan untuk memindahkan mangsa cedera.

“Mereka yang ditahan termasuk pengarah perkhidmatan ambulans di selatan Gaza, Anis al-Astal, dan paramedik, Muhammad Abu Samak, Hamdan Anaba juga Abdel Karim Abu Ghali,” katanya.

Jurucakap itu berkata, Israel masih menahan 35 kakitangan profesional penjagaan kesihatan dari Semenanjung Gaza.

Katanya, ini termasuk Mohammed Abu Selmiya iaitu pengarah besar Kompleks Perubatan Al-Shifa.

Beliau turut mengesahkan sejak 7 Oktober lalu, seramai 403 individu cedera dan sakit meninggalkan Semenanjung Gaza melalui sempadan Rafah yang melintasi Mesir untuk menerima rawatan di luar negara.

Sementara itu, lebih 1.5 juta individu berada di pusat perlindungan.

Al-Qedra menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk memberi tekanan kepada Israel untuk segera melepaskan tahanan terdiri daripada kakitangan profesional penjagaan kesihatan.

Selain itu, beliau menyeru tindakan segera untuk mewujudkan koridor kemanusiaan bekalan perubatan, bahan api, hospital lapangan, pasukan perubatan, dan pemindahan ratusan mangsa cedera.

Beliau turut menekankan keperluan untuk mencari mekanisme yang berkesan dan mendesak untuk mencegah bencana kemanusiaan serta kesihatan bagi lebih 1.5 juta individu yang kehilangan tempat tinggal yang kini berada di tempat perlindungan. – AGENSI, HMetro Online –

IMEDIKEL TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here