Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan I Medikel TV
KOTA BHARU: Penyakit asthma atau lelah adalah antara penyakit yang popular dan tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Penyakit asthma yang menyebabkan radang pada saluran pernafasan bukanlah berpunca sejak lahir.
Namun, ia boleh menjadi lebih teruk jika individu terbabit terdedah kepada pencetus sehingga menyebabkan saluran pernafasan menghasilkan lendir.
Menurut Ahli Farmasi I Medikel, Noor Ikram Zahari, penyakit itu adalah penyakit imunologi yang membabitkan keradangan pada saluran pernafasan sehingga sukar bernafas.
Katanya, terdapat pelbagai faktor menyebabkan asthma termasuk unsur genetik dan persekitaran.
Ikram berkata, sekiranya ibu atau bapa mempunyai asthma, risiko untuk keturunannya menghidap penyakit sama adalah tinggi.
“Faktor yang kedua adalah luaran la adalah seperti asap rokok, jerebu dan debunga dan bila berlaku perubahan persekitaran pun akan mendapat tendency untuk mendapat asthma tu lagi tinggi.”, katanya.
Jelasnya, biarpun sukar untuk mengawal pencetus apabila berada di luar rumah, pesakit perlu memberi perhatian penuh dengan keadaan itu.
Selain itu, apabila penyakit itu menyerang, pesakit akan mengalami simptom batuk yang berlarutan, muka berubah kemerahan, pucat, kerap terjaga dan nafas berbunyi.
“Kesan kepada pesakit adalah long term di mana pesakit akan terbatas untuk melakukan aktiviti harian dia, dan tidak melakukan aktiviti berat seperti senaman dan angkat berat dan asthma ini jika tidak dirawat dia akan menjadi lebih teruk dan boleh menyebabkan kematian.” katanya.
Jelas Ikram, sekiranya ia tidak dikawal dengan baik, pesakit berkenaan tidak boleh membabitkan diri dalam aktiviti sukan kerana berkemungkinan memberi kesan kepada perkembangan sosial mereka.
Menurutnya, golongan yang berisiko terhadap penyakit tersebut adalah perokok tegar kerana kesan jangka panjang yang menyerang paru-paru mereka.
“Jadi bila hisap rokok paru-paru dia akan jadi tidak sihat dan benda tu tak nampak serta merta, dia akan nampak bila 10 tahun hingga 20 tahun akan datang. Baru kita tahu bahawa paru-paru kita dah teruk la masa tu kita akan kena asthma yang kuat.
“Orang yang selalu kerap kena jangkitan paru-paru bila kena paru-paru organ paru-paru ini dia akan rosak dan senang untuk kita dapat asthma,” katanya.
Menurutnya, pengambilan ubat pencegah dan menjauhkan diri daripada faktor pencetus perlu diambil serius.
Dia berkata, rawatan bagi pesakit asthma adalah penggunaan sabutamol inhaler untuk mencegah lelah menjadi lebih teruk.
Ikram turut menasihatkan orang ramai agar tidak memandang remeh akan penyakit itu terutamanya mereka yang menghidap asthma.
Dapatkan rawatan segera jika anda mempunyai masalah kesukaran bernafas. Cegah sebelum terlambat.
IMEDIKEL TV






