Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan I Medikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan komited menyediakan beberapa bantuan perumahan kepada rakyat di negeri ini mengikut kelayakan yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah, berkata, kerajaan Kelantan berusaha menyediakan kediaman yang selesa kepada rakyat yang kurang berkemampuan menerusi Rumah Dhuafa’.
“Sebagai negeri yang berkebajikan, kerajaan negeri memberi keutamaan bagi permohonan Rumah Dhuafa’ terhadap golongan asnaf yang memiliki tanah sendiri serta mereka yang mempunyai ramai anak lelaki dan perempuan yang memerlukan perasingan antara bilik ibu bapa.
“Selain itu, mereka yang ingin membuat permohonan boleh menerusi Pejabat Tanah di jajahan masing-masing,”katanya kepada pemberita selepas menerima kunjung hormat daripada IMedikel Pharma Holding Berhad (IMPHB) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) di sini, baru-baru ini.
Menurut Hilmi, pihaknya akan membina rumah yang mempunyai tiga ruangan bilik dan dua ruang bilik air secara percuma.
Selain itu, golongan asnaf juga termasuk dalam kelayakan untuk permohonan Bantuan Rumah Kediaman dan boleh membuat permohonan terus kepada MAIK.
“Seterusnya, pihak kami juga memperkenalkan projek perumahan seperti Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) bagi golongan yang kurang berkemampuan serta Bantuan Pemulihan Rumah Kediaman di bawah setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membaikpulih rumah yang uzur dan usang.
“Kita juga menyediakan bantuan berbentuk Tabung Serambi Mekah untuk membantu rumah yang berlaku kerosakan akibat bencana seperti ribut dan kebakaran,”katanya.
IMedikel TV






