BANDAR ACEH: Angka korban akibat banjir dan tanah runtuh dahsyat di Sumatera pada akhir November lalu meningkat kepada 604 orang, manakala 464 lagi masih hilang dan lebih 570,000 terpaksa dipindahkan, menurut Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan (BNPB) pada Isnin, lapor Jakarta Globe.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, bencana yang dicetuskan oleh Siklon Senyar yang membawa banjir kilat, tanah runtuh, angin kencang serta kerosakan besar antara 19 hingga 28 November menjejaskan akses, komunikasi dan logistik di seluruh Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh.
Ketua BNPB, Suharyanto berkata, laluan pengangkutan utama di Sumatera Utara masih terputus terutamanya di Tapanuli Selatan, Tapanuli Tengah dan Sibolga dengan kerosakan teruk memperlahankan usaha pemulihan.
“Laluan utama dari Tapanuli Utara ke Sibolga masih terputus walaupun jentera berat sudah dikerahkan sejak hari pertama,” katanya dalam siaran Berita Satu TV pada Isnin.
Katanya, sambungan jalan dari Tapanuli Utara ke Tapanuli Tengah serta dari Tapanuli Selatan ke Tapanuli Tengah juga masih tidak dapat diakses, walaupun laluan Sibolga –Tapanuli Tengah sudah dipulihkan.
Daripada segi komunikasi, rangkaian hanya berfungsi sebahagian sahaja. Beberapa kampung di Tapanuli Selatan masih bergantung kepada terminal kecemasan Starlink, manakala Tapanuli Tengah terus mengalami gangguan besar.
Akses kepada elektrik dan air bersih juga masih tidak menentu. Tapanuli Tengah masih bergantung pada set jana kuasa manakala bekalan elektrik di Sibolga yang dipulihkan kembali terputus pada Isnin.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, pengagihan logistik disambung semula melalui darat, laut dan udara. Bekalan sudah tiba di Sibolga melalui laut dan insiden rompakan yang dilaporkan sebelum ini kini berada dalam kawalan.
Kerajaan turut menghantar 500 tan beras kecemasan bagi mengelak kekurangan bekalan di dua daerah yang paling teruk terjejas di Sumatera Utara.
Bagi mempercepatkan usaha pemulihan, Kementerian Kerja Raya (PU) mengerahkan 56 jentera pengorek sejak 30 November dengan tambahan 12 lagi dalam perjalanan ke kawasan yang terjejas teruk.
Menteri Kerja Raya, Dody Hanggodo berkata, 30 kilometer daripada 60 kilometer jajaran lebuh raya nasional Tarutung – Sibolga sudah dibuka semula di samping kerja-kerja memperkukuh tebing sungai menggunakan gabion.
BNPB pula memperluas hab logistiknya di Lapangan Terbang Halim dan beberapa lapangan terbang serantau bagi menyediakan laluan pengagihan tambahan termasuk penghantaran melalui guguran udara di Aceh.
Sementara itu, Basarnas meneruskan operasi mencari dan menyelamat setiap hari manakala syarikat penerbangan swasta Susi Air menawarkan pesawat tambahan untuk menyokong pengangkutan kecemasan.
Pakar hidrologi hutan dan pengurusan lembangan saliran dari Universiti Gadjah Mada, Hatma Suryatmojo, berkata bencana itu berpunca daripada kerosakan ekologi huluan yang berlarutan digabungkan dengan hujan ekstrem.
“Cuaca ekstrem mungkin mencetuskan keadaan ini namun tahap kemusnahannya tidak dapat dipisahkan daripada degradasi serius ekosistem huluan,” katanya.-Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






