Home Luar Negara 6 MAUT, BAS DISYAKI SENGAJA DIBAKAR

6 MAUT, BAS DISYAKI SENGAJA DIBAKAR

161
0

GENEVA: Sekurang-kurangnya enam maut dalam kebakaran sebuah bas di sebuah bandar kecil di barat Switzerland, pada Selasa, menyebabkan polis membuka siasatan kes jenayah.

Memetik Reuters menerusi Harian Metro, polis bandar Fribourg memaklumkan bas itu terbakar di laluan di Kerzers, sebuah bandar di kanton Fribourg, kira-kira 20 kilometer dari ibu negara Switzerland, Bern.

“Setakat ini, kami mempunyai petunjuk yang mencadangkan tindakan sengaja oleh seorang individu yang berada di dalam bas,” kata Frederic Papaux, jurucakap polis Fribourg.

Tiga orang cedera dibawa ke hospital, kata polis.

Papaux berkata penumpang dilihat melarikan diri daripada bas yang terbakar dalam keadaan panik dan cedera, dan menegaskan tiada kenderaan lain terbabit.

Rakaman video selepas kebakaran dipadamkan menunjukkan bas hangus sepenuhnya.

Apabila ditanya mengenai laporan media sosial yang belum disahkan seorang individu di dalam bas dipercayai mencurahkan petrol ke atas diri sendiri, Papaux berkata beliau tidak dapat mengesahkan sama ada petrol digunakan atau bagaimana kebakaran bermula.

Presiden Switzerland, Guy Parmelin, menyampaikan ucapan takziah dan berkata insiden itu sedang disiasat.

“Amat mengejutkan dan menyedihkan apabila sekali lagi individu hilang nyawa akibat kebakaran serius di Switzerland,” katanya dalam satu kenyataan di X.

Sebelum ini pada Januari, Switzerland digemparkan dengan kebakaran di sebuah bar di pusat peranginan ski Crans Montana, yang mengorbankan 41 orang dan mencederakan 115 lagi. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here