KUALA LUMPUR: Selepas 35 tahun menabur bakti, Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail menamatkan perkhidmatannya bersama badan penyiaran milik kerajaan itu, berkuat kuasa Jumaat lalu.
Memetik laporan Berita Harian, Maestro muzik berusia 64 tahun yang mula berkhidmat bersama Orkestra RTM pada 1991 berkata, tempoh panjang itu menyaksikan beliau melalui pelbagai fasa perkembangan industri penyiaran dan muzik tanah air.
“Selama 35 tahun saya bersama RTM, sudah tentu banyak pengalaman dan kenangan dilalui. Selepas sembilan tahun berkhidmat bersama Orkestra RTM, saya dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Muzik.
“Saya memegang jawatan Pengarah Muzik RTM selama 25 tahun. Tempoh itu satu sejarah yang sangat lama dan saya rasa rekod itu sukar dipecahkan,” katanya kepada BH Online.
Meskipun sedih meninggalkan RTM yang dianggap seperti rumah kedua, Mokhzani percaya legasi ditinggalkan mampu diteruskan generasi akan datang.
“Memang sedih hendak tinggalkan, tetapi saya harap anak muda dan pelapis saya akan meneruskan kesinambungan ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Mokhzani berkata, persaraannya berakhir sehari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-64 pada 22 Februari lalu.
Beliau turut menjawab persoalan mengenai pengunduran Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman yang berlaku pada tarikh sama.
“Kebiasaannya kami perlu menamatkan kontrak sehari sebelum ulang tahun kelahiran. Ulang tahun kelahiran saya pada 22 Februari, jadi 21 Februari adalah hari terakhir perkhidmatan.
“Cuma yang agak mengejutkan, saya dan Suhaimi keluar serentak. Saya menamatkan kontrak, manakala beliau melepaskan jawatan sebelum kontraknya tamat,” katanya.
Pemuzik kelahiran Jejawi, Perlis itu mengakui tidak pernah membayangkan dirinya akan memimpin Orkestra RTM meskipun sudah menceburi bidang muzik sejak kecil.
“Saya fikir apabila pulang dari luar negara, saya hanya mahu bermain piano dan membuat gubahan muzik. Tetapi apabila sudah berada dalam organisasi, kita mengharapkan perkembangan kerjaya yang lebih baik.
“Apabila bekerja dalam badan kerajaan, setiap kenaikan pangkat membawa tanggungjawab lebih besar dan jaminan masa depan yang lebih kukuh,” katanya.
Di penghujung perkhidmatannya, Mokhzani mengambil pendekatan lebih komersial bagi mengangkat nama Orkestra RTM agar tidak lagi dilihat sekadar sebagai orkestra pengiring.
“Ia membabitkan penerbitan muzik bersama Aina Abdul, Ernie Zakri dan barisan penyanyi hebat lain.
“Apabila lebih komersial dan membantu industri muzik, nama Orkestra RTM semakin dikenali dalam masyarakat, bukan hanya sebagai orkestra pengiring,” katanya.
Beliau berharap RTM dan Orkestra RTM terus gemilang serta relevan dengan perubahan semasa.
Ditanya mengenai hala tuju selepas ini, Mokhzani mengakui menerima beberapa tawaran termasuk daripada universiti, namun masih dalam pertimbangan.
“Saya ada menerima beberapa tawaran, termasuk daripada universiti. Namun, pada usia ini saya lebih cenderung bekerja sendiri tanpa tekanan dan kekangan masa.
“Saya mahu bebas berkarya kerana saya melalui semua fasa dalam muzik, daripada bermain piano, membuat susunan muzik, memimpin orkestra hingga menggubah lagu.
“Saya rasa lebih baik bekerja sendiri atau sebagai pekerja bebas supaya dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga,” katanya.
Sepanjang menerajui bahagian muzik RTM, Mokhzani bukan sahaja mengukuhkan peranan Orkestra RTM sebagai tulang belakang produksi muzik stesen itu, malah membawa pembaharuan agar kekal relevan.
Beliau memperoleh diploma persembahan piano daripada Associated Board of the Royal Schools of Music, London pada 1987.
Dengan biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA), beliau melanjutkan pengajian di Berklee College of Music, Amerika Syarikat dalam jurusan Piano dan Orkestra Jaz sebelum menamatkan pengajian pada 1990.
Sepanjang kariernya, Mokhzani memimpin pelbagai persembahan orkestra berprestij termasuk menghasilkan lagu tema sempena Hari Kebangsaan, selain pernah dilantik sebagai Ketua Juri Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Juara Lagu (AJL). – BH Online –