Home Luar Negara 30 TAHUN DI EVEREST, MAYAT ‘GREEN BOOTS’ AKAN DIBAWA PULANG

30 TAHUN DI EVEREST, MAYAT ‘GREEN BOOTS’ AKAN DIBAWA PULANG

INDIA: Mayat seorang pendaki India yang terperangkap dalam timbunan ais di Gunung Everest sejak 30 tahun lalu akhirnya bakal dibawa pulang kepada isterinya, lapor BBC.

Memetik laporan Agensi menerusi berita Harian, ia susulan satu pasukan penyelamat pakar dari India kini membuat persiapan untuk memulakan misi berisiko tinggi bagi membawa turun mayat yang dipercayai milik Dorje Morup, 48.

Pendaki itu terkorban akibat ribut salji ketika dalam perjalanan turun dari puncak gunung tertinggi di dunia itu pada Mei 1996.

Identiti mayat digelar sebagai Green Boots itu hanya dikenal pasti tahun ini. Gelaran itu merujuk kepada kasut gunung jenis Koflach berwarna hijau terang yang dipakai oleh mendiang, di mana jasadnya kekal terpelihara di dalam ais pada ketinggian 8,500 meter (m) sepanjang tiga dekad lalu.

Isteri Morup, Konchak Yangskit memberitahu BBC bahawa sepanjang tempoh berkenaan, dia dan keluarganya tidak pernah putus harapan bahawa suaminya suatu hari nanti akan kembali ke pangkuan keluarga. 

Yangskit yang kini berusia 75 tahun memberitahu agensi penyiaran itu bahawa amat sukar baginya untuk mempercayai tragedi berkenaan memandangkan dia tidak pernah mendapat pengesahan secara rasmi mengenai kematian suaminya. 

“Walaupun kami mengadakan majlis doa dan upacara pengebumian di rumah, hati saya tetap enggan percaya bahawa dia sudah meninggal dunia. Saya tidak melihat mayatnya, jadi sukar untuk saya mempercayainya,” katanya.

Morup adalah sebahagian daripada pasukan ekspedisi enam ahli yang terperangkap dalam ribut salji dahsyat berhampiran puncak pada 1996, ketika cuba menjadi pasukan pertama India yang menawan Everest menerusi laluan China yang lebih mencabar.

Sebelum ini, ramai yang percaya bahawa rangka pendaki yang dikenali sebagai Green Boots itu milik Tsewang Paljor, seorang lagi pendaki yang turut terkorban dalam ekspedisi sama.

Bagaimanapun, kenyataan daripada mangsa yang selamat serta lokasi perhubungan radio terakhir dengan pendaki membawa pihak berkuasa kepada kesimpulan baharu bahawa mayat berkenaan sebenarnya milik Morup.

Pasukan Polis Sempadan Indo-Tibet pada Jun lalu membuat rayuan baharu kepada agensi penyelamat khas tanah tinggi bagi membawa turun jasad itu dari kawasan sebelah Tibet di gunung berkenaan.

Langkah ini bertujuan membolehkan pihak berkuasa mengesahkan hipotesis berkenaan secara rasmi menerusi ujian sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

Sekiranya jasad itu disahkan milik Morup, mayat berkenaan akan diserahkan semula kepada pihak keluarga untuk urusan seterusnya, menurut laporan BBC.

Anak lelaki Morup, Punchok Dorjai berkata, pihak keluarga berhasrat untuk mengendalikan upacara penghormatan terakhir dan pengebumian untuk bapanya di Leh iaitu ibu negeri wilayah Ladakh, India.

Sejak 1996, pendaki menjadikan Green Boots sebagai penanda jarak dan masa yang agak menyeramkan sepanjang pendakian mereka menawan Everest.

Ramai yang menghubungi kem pangkalan menerusi radio untuk memaklumkan kepada pasukan sokongan bahawa mereka sampai di lokasi Green Boots.

Ada juga yang berehat atau berlindung bersebelahan dengan jasad berkenaan.

Pada 2006, ketika kali pertama mendaki ke puncak dari laluan utara, Tshiring Jangbu Sherpa terselisih dengan jasad Green Boots sewaktu dia mencari perlindungan daripada angin kencang di bawah celah batuan.

Menurut beliau kepada The Guardian, lapisan salji nipis ketika itu hampir menutupi keseluruhan jasad Green Boots.

“Apabila saya menyentuhnya, saya membersihkan sedikit salji. Kemudian barulah saya dapat melihat dengan jelas Green Boots terbaring di bawah timbunan salji itu,” katanya. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here