Home Buletin Semasa 10,000 PENDUDUK BIMBANG PENCEMARAN, RISIKO LETUPAN SALURAN PAIP GAS BAWAH TANAH

10,000 PENDUDUK BIMBANG PENCEMARAN, RISIKO LETUPAN SALURAN PAIP GAS BAWAH TANAH

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Lebih kurang 10,000 penduduk dari empat kampung sekitar Kempas di sini bimbang dengan aktiviti pencemaran dan risiko letupan saluran paip gas bawah tanah, dipercayai daripada aktiviti pembakaran barangan lusuh dari sebuah premis yang didakwa beroperasi secara haram.

Ketua Kampung Sri Aman, Rafizal Ahmad Razi berkata, saluran paip gas bawah tanah terbabit terletak kira-kira 12 meter dari lokasi pembakaran barang lusuh, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk sekitar.

Menurutnya, keadaan tersebut membimbangkan penduduk yang tidak mahu kejadian letupan seperti insiden kebakaran paip gas di Prima Heights, Puchong, Selangor tahun lalu, berulang.

“Aktiviti ini sudah berlarutan sejak lebih setahun dan semakin kerap berlaku dalam tempoh seminggu ini, selepas ramai penduduk membuat aduan kerana ada kepulan asap tebal dari tapak ini bermula 7 malam.

“Setiap hari saya menerima aduan penduduk yang bimbang kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan, tetapi membahayakan kawasan sekitar kerana ada saluran paip gas bawah tanah yang berisiko meletup jika pembakaran itu tidak dikawal,” katanya ketika ditemui selepas penduduk kampung menggempur lokasi itu hari ini.

Rafizal berkata, beberapa aduan sudah dibuat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), SWCorp, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan polis bagi memastikan tindakan diambil.

Katanya pihaknya dimaklumkan ada hadir membuat pemeriksaan seperti SWCorp, yang meminta penyewa premis itu untuk mengosongkan tapak berkenaan.

“Mungkin disebabkan itu penyewa terbabit terpaksa membakar barang-barang lusuh yang terdapat di tapak pelupusan berkenaan, kerana sudah tidak tahu untuk dibawa ke mana malah barang-barang berkenaan juga tidak boleh dijual,”katanya.

Sementara itu, Penduduk kampung, Khairul Amin Mohamadiah, 35 berkata, keluarganya diselubungi kebimbangan memandangkan kediaman mereka hanya terletak 50 meter dengan tapak pembakaran itu.

Lebih membimbangkan katanya, ancaman bau busuk disebabkan pembakaran barang kuprum dan getah serta terdapat sisa pemprosesan ayam yang tidak diurus dengan betul sehingga mengundang kehadiran lalat.

“Memang risau sangat kalau terjadi apa-apa pada saluran gas bawah tanah. Kami baru tahu ada penternakan ayam di dalam tapak terbabit yang dikhuatiri tidak memiliki lesen pemprosesan sembelihan sah.

“Kita juga tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang, sekiranya saluran paip gas ini meletup, pasti banyak kawasan terjejas malah kesihatan kami juga terancam,” katanya.

Bagi Penduduk kampung, Noraini Abu Bakar, 32 menjelaskan aktiviti pembakaran itu sangat mengganggu kehidupan penduduk sekitar, kerana semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

“Kita rasa takut, sebab setiap hari kita lalu jalan raya ini dan tidak mahu kejadian di Puchong itu berlaku di sini.

“Saya berharap agar isu ini diatasi segera kerana boleh mengancam keselamatan bukan sahaja penduduk setempat tetapi mereka yang melalui Jalan Kempas Lama – Seelong ini,” katanya.

Serbuan hari ini turut dihadiri pihak polis dan JAS yang difahamkan ada mengeluarkan notis saman kepada penyewa premis.

Tapak itu dipercayai dimiliki individu warga Singapura yang disewakan kepada penyewa tempatan yang menjalankan perniagaan barang kitar semula.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here