Home Buletin Semasa 250 PESERTA SERTAI ‘PROSTATE RUN’ 2026, PERKASA KESEDARAN KANSER PROSTAT

250 PESERTA SERTAI ‘PROSTATE RUN’ 2026, PERKASA KESEDARAN KANSER PROSTAT

73
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seramai 250 peserta menyertai program ‘Prostate Run’ 2026 yang dianjurkan Unit Urologi, Jabatan Surgeri, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), hari ini.

Penganjuran kali kedua secara tahunan itu diadakan sempena Bulan Kesedaran Kanser yang disambut setiap Februari, dengan mesej jelas mengenai kepentingan meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan prostat dalam kalangan lelaki.

Pengarah HPUSM, Profesor Datuk Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani berkata, program berkenaan bukan sahaja menggalakkan pengamalan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal, malah meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan pemeriksaan awal kesihatan.

“Peranan keluarga khususnya wanita amat signifikan dalam menyokong penjagaan kesihatan lelaki secara menyeluruh.

“Kanser prostat adalah antara kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki di Malaysia.

“Justeru, usaha meningkatkan kesedaran melalui program seperti ‘Prostate Run’ amat penting bagi menggalakkan pengesanan awal, mengurangkan risiko komplikasi serta meningkatkan tahap penjagaan kesihatan lelaki.

“Pencegahan dan kesedaran adalah langkah paling berkesan dalam menangani isu kesihatan ini,” katanya.

Terdahulu Dr. Ab Rahman Izani merasmikan program berkenaan pada Sabtu.

Katanya program itu turut disertai golongan lelaki, wanita dan kana-kanak.

Beliau menegaskan, kesihatan lelaki bukan isu individu semata-mata, sebaliknya tanggungjawab bersama yang memerlukan sokongan berterusan daripada keluarga dan masyarakat.

“Program tersebut turut memperkukuh peranan HPUSM sebagai peneraju dalam promosi kesihatan lelaki, di samping meningkatkan keterlibatan komuniti menerusi pendekatan pencegahan penyakit, pendidikan kesihatan dan pemerkasaan kesejahteraan masyarakat secara berterusan.

“Usaha ini juga mencerminkan peranan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai institusi yang bukan sahaja berteraskan kecemerlangan ilmu dan penyelidikan, malah komited membudayakan gaya hidup sihat serta memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui penglibatan aktif bersama masyarakat,”katanya.

Ab Rahman Izaini turut berharap ‘Prostate Run’ dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang lebih besar, inklusif dan berimpak tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih sihat, peka dan bertanggungjawab terhadap kesihatan lelaki dengan sokongan aktif wanita serta seluruh ahli keluarga.

“Saya percaya program ini juga dapat memperkasakan budaya bersenam dan penjagaan kesihatan dalam kalangan warga kerja HPUSM, di samping mengeratkan ukhuwah serta meningkatkan mutu perkhidmatan,”katanyanya.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Ketua Unit Urologi HPUSM, Dr. Ahmad Faiz Najmuddin Mohd Ghazi serta Pengarah Program ‘Prostate Run’ 2026, Dr. Mohd Za’im Zakaria.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here