Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Kira-kira 25 pembekal dan pemborong di Pasar Jelawat Lama enggan berpindah ke Pasar Jelawat Baharu susulan notis yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenai arahan pemindahan mereka bermula esok.
Mereka mendakwa pemindahan itu akan menjejaskan pendapatan mereka memandangkan wujudnya dua pasar iaitu Pasar Jelawat Lama serta Pasar Jelawat Baru.
Menurut seorang pembekal cendawan, Haslina Ya, 45, pemindahan di pasar baharu akan menjadikan dua lokasi pasar kerana masih ada segelintir peniaga yang tidak perlu berpindah ke pasar baharu.

“Hanya pembekal ikan dan sayur sahaja yang perlu pindah, hal ini akan menyebabkan kami kehilangan pelanggan memandangkan orang ramai lebih selesa membeli di pasar lama.
“Apabila adanya dua pasar, pelanggan akan memilih untuk membeli di Pasar Jelawat Lama berikutan faktor lokasi yang mudah diakses tanpa bayaran parkir manakala di pasar baharu, kadar bayaran lebih tinggi termasuk adanya caj parkir dan sewaan bulanan mencecah sekitar RM150,” katanya kepada pemberita di Pasar Jelawat Lama, di sini, hari ini.
Seorang lagi pembekal sayur, Norazmi Shafei, 56, berkata Pasar Jelawat Lama sudah menjadi tumpuan orang ramai sejak puluhan tahun dahulu.

“Kami sebagai pembekal bimbang peniaga lain sukar mendapat bekalan daripada kami kerana sebahagian peniaga masih beroperasi di pasar lama,” katanya.
Selain itu, seorang lagi pembekal sayur, Mohd Zulhafiza Jaafar, 44, yang sudah bertapak di Pasar Jelawat Lama sejak 18 tahun dahulu mengatakan pasar itu sudah menjadi tradisi pelanggan dan dia tekad untuk terus kekal berniaga di pasar berkenaan.

“Kami selesa di Pasar Jelawat lama, malah pelanggan sudah mengenali kami sebab itu kami minta ihsan dari PBT untuk kekal berada di sini,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang peniaga, Noriah Che Kob, 61, berkata dia selalu mengambil bekalan sayur-sayuran dan kuih-muih di Pasar Jelawat Lama untuk berniaga.
“Sekiranya pembekal sayur berpindah ke pasar baharu, saya terpaksa pergi ke pasar baharu untuk ambil bekalan sayur kemudian ke pasar lama untuk ambil bekalan kuih-muih, hal itu akan menjadi sukar dan mngambil masa.
“Kami mohon pertimbangan daripada PBT agar menilai kembali dan kami juga berharap suara-suara peniaga, pembekal dan pemborong didengari oleh pihak berkuasa,” katanya.
IMedikel TV






