Home Buletin Semasa 17 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPS SERKAP

17 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPS SERKAP

306
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan menahan seramai 17 orang warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada petang Sabtu di sekitar Kota Bharu.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan, Ops Serkap dijalankan kira-kira jam 4.00 petang dan membabitkan seramai 15 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM Negeri Kelantan.

“Tindakan ini adalah hasil daripada risikan yang dijalankan bahagian tersebut.

“Antara lokasi serbuan termasuk dua unit rumah di Taman Seri, sebuah rumah di Batu 6 Tok Kaya, dan sebuah rumah kongsi di Mukim Pulau Gajah, Kota Bharu.

“Kesemua 17 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang ditahan adalah warga Bangladesh berumur antara 19 hingga 40 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut.

Katanya daripada jumlah itu, 14 orang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 manakala tiga lagi yang disyaki sebagai ejen turut ditahan di bawah Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Beliau turut mengingatkan majikan agar hanya menggaji warga asing yang memiliki pas sah dan menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat mengenai kehadiran PATI atau sebarang aktiviti yang mencurigakan membabitkan warga asing.

“Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam melindungi atau memudahcara kehadiran PATI di negara ini,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here