Sekurang-kurangnya 17 individu maut dalam kebakaran di sebuah stesen simpanan minyak kendalian syarikat tenaga Indonesia, Pertamina di Jakarta, semalam.
Kebakaran itu bermula sekitar jam 8 malam (waktu tempatan) dan menyebabkan beberapa kediaman berhampiran turut dijilat api dan puluhan penduduk melarikan diri.
Jurucakap Pertamina berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan sekitar jam 10.30 malam, namun pihak bomba menerusi Instagram memaklumkan, api masih dikesan di kawasan kediaman selepas itu.
Jurucakap bomba, Rahmat Kristanto, berkata dua daripada 17 individu yang terbunuh adalah kanak-kanak, manakala 50 individu yang cedera turut membabitkan seorang kanak-kanak.

Pemangku Gabenor Jakarta, Heru Budi Hartono pula memberitahu pemberita bahawa kebanyakan individu cedera akibat melecur dan kerajaan akan menanggung kos perubatan mereka.
Sementara itu, video insiden berkenaan di media sosial menunjukkan bunyi letupan jelas kedengaran tidak lama selepas kebakaran bermula, namun kesahihan video itu tidak dapat disahkan.
Berhampiran stesen simpanan minyak yang memiliki kapasiti 300,000 kiloliter itu, orang ramai dilihat berkumpul ketika anggota bomba membawa beg mayat berwarna oren keluar daripada lokasi kebakaran.
Agensi mitigasi bencana Jakarta memaklumkan penduduk di kawasan itu telah dipindahkan ke masjid berhampiran.
Seorang penduduk, Siswandi, 21, memaklumkan keadaan di lokasi itu amat kelam-kabut kerana mereka semua bertempiaran lari di samping mangsa yang hampir ‘separuh terbakar’ dan menyebabkan orang ramai panik.

Pusat panggilan stesen bomba utama Jakarta mengerahkan 51 unit ke kawasan kebakaran di Plumpang di Jakarta Utara, menyifatkan kebakaran itu amat besar.
Dalam satu kenyataan, Pertamina memaklumkan punca kebakaran masih disiasat dan usaha menyelamat masih berterusan, manakala bekalan minyak untuk Jakarta masih selamat dan merancang mengalihkan bekalan itu ke terminal lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertamina, Nicke Widyawati memohon maaf atas insiden kebakaran itu dan akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengelak insiden sama berulang.
Sumber: BH Online & Reuters
— Imedikel TV






