Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Masalah indeks jisim berat badan (BMI) dalam kalangan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan amat merisaukan.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, terdapat 10 peratus daripada 673 pegawai dan anggotanya mempunyai masalah tersebut.

“Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan ada dalam kalangan pegawai dan anggota kita mempunyai masalah BMI atau obesiti. Peratusan itu amat tinggi dan amat merisaukan.
“Antara faktor termasuk tahap kesihatan, faktor umur dan mungkin juga disebabkan keadaan fizikal anggota bomba itu sendiri,”katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di Tunjong, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata pihaknya sudah berbincang dengan bahagian latihan untuk memantapkan lagi latihan dan aktivti bagi mengurangkan peratusan obesiti dalam kalangan anggota bomba selain turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kita akan klusterkan kumpulan ini dan melihat aktiviti yang bersesuaian dengan mereka untuk membantu menurunkan berat badan,” katanya.
Menurut Farhan Sufyan pihaknya akan mempertingkatkan lagi program Wellness Hub untuk tahun ini bagi mengurangkan bilangan atau peratusan obesiti dalam kalangan anggota atau pegawai bomba di negeri ini.
IMedikel TV






